Translate

Tuesday, July 28, 2026

Rumah rosak, kedai ranap dihentam kayu balak hanyut

 BESUT – Kedukaan pasangan suami isteri yang ditimpa malang berganda akibat banjir besar hujung tahun lalu sedikit terubat apabila kerosakan rumah mereka dibaiki badan bukan kerajaan (NGO), Yayasan Ikhlas. 

Noorsuzieana Kamardin, 41, yang menghidap penyakit buah pinggang kronik berkata, struktur dapur rumahnya yang runtuh dibina semula dengan kerjasama Permodalan Nasional Berhad (PNB) melibatkan kos lebih RM15,000. 

“Banjir besar itu membuatkan saya dan suami jatuh terduduk. Hampir semua peralatan elektrik dan pakaian rosak terendam air. 

“Bukan sahaja struktur dapur runtuh malah gerai minuman yang menjadi sumber rezeki kami juga ranap dihentam sebatang kayu balak dihanyutkan arus banjir,” katanya semalam. 

Noorsuzieana dan suami, Shuaril Suhaimi, 39, yang menghidap diabetes kronik turut menerima sumbangan mesin basuh disampaikan Pengarah Bahagian Korporat Yayasan Ikhlas, Ir. Kamaruddin Kassim. 

Ibu dua anak berusia 10 dan 13 tahun itu memberitahu, kemusnahan struktur gerai minuman itu menyebabkan mereka hanya bergantung bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat RM500 sebulan.

 “Kami tidak mampu kerja berat lain kerana saya perlu menjalani dialisis tiga kali seminggu sejak lebih 10 tahun lalu manakala suami memerlukan empat suntikan insulin sehari,” katanya. 

Sementara itu, Kamaruddin berkata, keluarga Noorsuzieana merupakan antara enam isi rumah yang layak menerima bantuan membaiki kerosakan rumah akibat banjir di daerah ini. 

Tambah beliau, selain itu, seramai 50 keluarga di daerah tersebut juga menerima sumbangan pasca banjir berupa barangan keperluan.

No comments:

Post a Comment