Oleh MOHD. AZLI ADLAN
KUALA NERUS- Sambutan Aidilfitri tahun ini menjadi mimpi ngeri buat seorang pemuda apabila tangan kirinya putus dan sebahagian jari tangan kanannyaа hancur akibat bermain mercun buatan sendiri di Kampung Gong Pak Damat di sini kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 pagi itu, beberapa bahagian badan lelaki berusia 27 tahun itu turut cedera kesan letupan berkenaan.
Ketua PolisTerengganu, Datuk Rohaimi Md. Isa berkata, letupan berlaku ketika lelaki itu sedang membancuh mercun buatan sendiri menggunakan mercun bola dan paip PVC.
"Letupan itu menyebabkan tangan kiri lelaki itu putus hingg ke pergelangan, beberapa jari kanannya hancur dan bahagian badan lain turut cedera dan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu," katanya.
Rohaimi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan pengedar serta penjual mercun bola terbabit sedang dikesan.
Sebelum ini Kosmo! melaporkan seorang remaja lelaki berusia 13 tahun cedera pada mata kanan akibat bermain mercun yang telah diubah suai.
Rohaimi berkata, setakat ini, sebanyak 18 individu telah ditahan kerana disyaki terlibat mengedar dan menjual mercun dan bunga api secara haram di negeri berkenaan.
"Sejak awal Ramadan lalu kita telah merampas pelbagai mercun dan bunga api bernilai keseluruhan RM18,835. Operasi mengesan dan menangkap pengedar serta penjual mercun sedang giat dijalankan," ujarnya.
Jelasnya, setakat ini, pihaknya hanya meluluskan 42 permohonan permit menjual mercun dan ia terhad kepada 36 jenis bunga api serta mercun.

No comments:
Post a Comment