Translate

Monday, July 13, 2026

60,000 bakal jemaah terima notifikasi peringatan TH sejak 1 Julai

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGGANU – Tabung Haji (TH) menghantar notifikasi peringatan kepada lebih 60,000 bakal jemaah haji bagi musim 1448H/2027M dan 1449H/2028M mulai 1 Julai lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad berkata, insiatif tersebut sebagai galakan kepada semua bakal haji supaya membuat persediaan awal dari segi kewangan, kesihatan, pengetahuan agama dan mental sebelum menerima tawaran rasmi selepas ini.

Beliau berkata, notifikasi menerusi kiriman pesanan ringkas (SMS) dan e-mel itu merupakan penambahbaikan daripada inisiatif yang telah dirintis TH sejak tahun lalu.

“Berbanding tahun lalu, kali ini kita menghantar notifikasi kepada bakal haji bagi musim 1448H/2027M dan 1449H/2028M lebih awal bermula 1 Julai lalu iaitu pada hari terakhir penerbangan pulang jemaah haji musim lalu.

“Ia bertujuan supaya mereka dapat membuat persediaan awal bagi mengelak rasa terbeban sekali gus dapat menunaikan ibadah haji dengan tenang di Tanah Suci nanti,” katanya di sini hari ini.

Terdahulu, beliau merasmikan program literasi kewangan ‘Cilik-Cilik Dah Celik’ peringkat Pantai Timur melibatkan 100 keluarga dari Terengganu, Kelantan dan Pahang.

Mustakim berkata, notifikasi peringatan itu bukan tawaran rasmi menunaikan haji memandangkan pelbagai prasyarat lain masih perlu dipenuhi termasuk memiliki simpanan sekurang-kurangnya RM15,000 dalam akaun TH.

Tambahnya, ini kerana kos minimum untuk menunaikan haji bagi golongan kurang berkemampuan atau B40 pada masa kini adalah sebanyak RM15,000. – KOSMO! ONLINE

No comments:

Post a Comment