Oleh MOHD AZLI ADLAN
KUALA TERENGGANU – Calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar, Luqman Long berjanji akan meletak jawatan sebagai Ketua Penerangan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) sekiranya hilang deposit pada Pilihan Raya Negeri (PRN), 12 Ogos ini.
Katanya, ikrar itu menunjukkan kesungguhannya untuk merampas DUN tersebut dan kehadiran bertanding bukan sekadar mahu memecah undi sahaja.
“Saya datang ke Terengganu (bertanding di DUN bandar) bukan main-main, bukan untuk pecah undi. Jika saya gagal untuk sekurang-kurangnya mendapatkan kembali deposit, saya akan lepaskan jawatan saya (Ketua Penerangan MUDA) di pimpinan Pusat,” katanya di sini hari ini.
Sehubungan itu, Luqman menyeru pengundi DUN Bandar khususnya anak muda agar memberi peluang kepadanya untuk mewakili mereka di DUN Terengganu.
Luqman bakal menghadapi pertembungan tiga penjuru dengan penyandang, Ahmad Shah Mohamed (Pas) dan Armi Mohd. Armi Irzan Mohd. (Barisan Nasional) pada PRN Terengganu ke-15.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada tahun 2018, Ahmad Shah memenangi kerusi itu dengan majoriti 2,091 undi. – KOSMO! ONLINE
No comments:
Post a Comment