Oleh MOHD AZLI ADLAN
KUALA TERENGGANU – Pergerakan Pemuda Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) Terengganu sepakat menubuhkan pasukan pemantau kesalahan pilihan raya terutama melibatkan politik wang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.
Ketua Pemuda UMNO Terengganu, Tengku Haphiz Tengku Putera berkata, pasukan pemantau tersebut bertujuan memastikan sebarang aktiviti menyalahi Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 didakwa dilakukan kerajaan negeri Terengganu diterajui Pas pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu tidak berulang lagi pada PRN kali ini.
“Ini dibuktikan dengan pembatalan keputusan PRU15 bagi Parlimen Kuala Terengganu memihak Pas yang diputuskan mahkamah baru-baru ini.
“Kita mewakili anak muda negeri ini kesal dengan cara Pas menggerakkan jentera parti pada PRU15 lalu dan tidak mahu gejala politik wang itu berulang lagi pada PRN 12 Ogos ini,” katanya di sini hari ini.
Terdahulu beliau mempengerusikan mesyuarat Pemuda Perpaduan Terengganu yang turut dihadiri kepimpinan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pemuda Parti Amanah Nasional (Amanah) negeri.
Kosmo! Online 27 Jun lalu melaporkan Mahkamah Pilihan Raya Kuala Terengganu membatalkan kemenangan Datuk Ahmad Amzad Hashim dari Pas setelah mendapati wujudnya unsur rasuah dilakukan sewaktu kempen PRU15.
Petisyen yang difailkan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mohd. Zubir Embong itu dibenarkan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Seri Mohd. Firuz Jaffril.
Tengku Haphiz berkata, perbuatan politik wang tersebut perlu dihindarkan kerana ia memberi isyarat salah pengundi muda berusia 18 tahun yang pertama kali terlibat dalam pilihan raya. – KOSMO! ONLINE
No comments:
Post a Comment