PETALING JAYA – Gagal memperoleh Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 tidak mematahkan semangat sebilangan anak muda apabila ada antara mereka memasang impian mahu melanjutkan pengajian pada masa depan.
Rata-rata mereka menyatakan akan menduduki semula peperiksaan berkenaan dan ada antaranya memilih untuk terjun ke bidang kemahiran dengan mengikuti Program Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Bagi mempersiapkan diri, ada antaranya yang belajar sambil bekerja bagi mengumpul wang sebagai modal untuk meneruskan pengajian di universiti atau sebaliknya
Seorang remaja dikenali sebagai Azri, 18 berkata, dia kecewa selepas gagal subjek Sejarah, sedangkan ketika peperiksaan percubaan berjaya memperoleh keputusan C.
Katanya, sungguhpun begitu, kegagalan itu tidak melemahkan semangatnya untuk mengambil peperiksaan ulangan dan mahu membuktikan kepada kedua-dua ibu-bapanya dia boleh berjaya.
“Saya kini bekerja sambilan bagi menampung kos untuk mengambil peperiksaan ulangan nanti,” katanya.
Bagi pelajar aliran sastera ini, dia bercita-cita mahu menjadi seorang pereka grafik animasi dan berjanji untuk berusaha lebih gigih bagi menduduki peperiksaan ulangan akan datang.
“Maaf ibu, papa. Saya gagal kali ini, tapi saya janji akan buktikan sesuatu membanggakan nanti,” luahnya.
Seorang lagi calon SPM yang mahu dikenali sebagai Lia, 18, meluahkan rasa terkilan dengan keputusan SPM baru-baru ini apabila turut menerima gred G bagi subjek Sejarah.
Lia mengakui masalah kesihatan yang dilaluinya sepanjang minggu peperiksaan menjejaskan fokus sewaktu menjawab kertas SPM.
Berkongsi tentang perancangannya selepas ini, Lia berkata dia mahu mengambil sebanyak lima subjek ulangan termasuklah Sejarah bagi memperbaiki gred SPM.“Saya akan ulang subjek Sejarah, Matematik, Fizik, Bahasa Inggeris dan Kimia sebab sebelum ini saya hanya raih gred C, D dan G. Saya akan pastikan peperiksaan ulangan ini akan hasilkan gred B sekurang-kurangnya.
“Saya mahu ubah nasib saya, saya ingin dapatkan kerjaya impian saya dan saya harap peluang untuk jadi Ahli Farmasi masih tidak tertutup untuk saya,” ujarnya.
Di Kuala Terengganu, seorang remaja yang juga gagal meperoleh sijil dikenali Hanafi, 18, berkata, dia bercadang untuk menyertai kursus kemahiran sebagai landasan untuk membina kerjaya pada masa depan.
Buat masa ini ujarnya, dia giat bekerja mengumpul wang sebagai persediaan untuk menyertai kursus kemahiran berkenaan dalam bidang penyelenggaran pendingin hawa.
“Ini kerana, saya dimaklumkan permintaan dalam bidang kerjaya tersebut adalah tinggi dalam pasaran,” ujarnya.
Sementara itu, di Sungai Petani, Kedah, seorang remaja dikenali Hilman, 18, memberitahu, dia berasa rendah diri dan malu dengan kawan-kawan kerana gagal memperoleh sijil SPM.
Namun, menurutnya, perasaan itu kini kian terpadam dan dirinya telah menerima kenyataan selain bertekad untuk menyambung pengajian dalam bidang kemahiran bagi mengubah nasib diri dan keluarga.
No comments:
Post a Comment