Translate

Friday, August 4, 2023

PRN: BN Terengganu sedia manifesto khas warga Felda

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Barisan Nasional (BN) menyediakan manifesto khas kepada warga tanah rancangan Felda negeri tersebut sekiranya berjaya merampas semula Terengganu pada Pilihan Raya Negeri (PRN), 12 Ogos depan.

Pengerusi BN Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said berkata, kebajikan warga 20 tanah rancangan Felda yang terdapat di negeri tersebut menjadi keutamaan parti tersebut.

Beliau berkata, aku janji khas berkenaan mengandungi lima tawaran bagi mengupayakan warga Felda terbabit dalam mendepani cabaran masa depan.

“BN Terengganu akan memberi tumpuan menyediakan lot perumahan kepada semua peneroka Felda di negeri ini.

“Pembinaan perumahan Generasi Baharu Felda kelak akan dilakukan menerusi agensi kerajaan negeri,” katanya di sini hari ini.

Ahmad berkata, aktiviti ekonomi di kawasan Felda juga akan digiatkan lagi dengan fokus diberikan terhadap pertanian moden, eko-pelancongan dan agro-pelancongan.

Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal itu berkata, BN juga memohon agar wakil Terengganu dilantik dalam Lembaga Felda bagi membolehkan suara negeri ini lebih didengari.

“Kita juga akan menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan di kawasan Felda dan sekitar bagi meminimakan penghijrahan keluar belia dari tanah rancangan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

No comments:

Post a Comment