Translate

Saturday, August 5, 2023

PDRM panggil wakil parti kurang ketegangan kempen PRN

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memanggil wakil-wakil parti politik yang akan bertanding bagi mengurangkan ketegangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN), tidak lama lagi.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, tumpuan akan diberikan kepada kawasan-kawasan panas yang telah dikenal pasti di semua enam negeri terlibat.

Beliau berkata, berdasarkan pemerhatian PDRM, isu-isu yang sering menjadi perbalahan di kawasan panas berkenaan sebenarnya agak remeh dan boleh dihindarkan.

“Isu-isu yang sering berlaku berkaitan merosakkan bendera (parti politik), cuba untuk mengawal kawasan tertentu agar membenarkan pihak lain memacak bendera dan mencabut bendera.

“Ia cuma isu kecil yang boleh dikurangkan (pada PRN kali ini),” katanya selepas mengerusikan Taklimat PRN di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Terengganu, di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, Ayob Khan memberitahu, sebanyak 59 kawasan panas di seluruh Terengganu telah dikenal pasti untuk diawasi sepanjang tempoh PRN kali ini.

Jelas beliau, antara kawasan panas berkenaan adalah pekan Batu Enam, Kuala Nerus, Kampung Losong Haji Mat Shafie, Kuala Terengganu, Pulau Serai dan Seberang Pintasan, Dungun.

Dalam pada itu, Ayob Khan berkata, seramai 4,468 anggota polis daripada Kontijen Terengganu bakal bertugas bagi melicinkan perjalanan PRN Terengganu pada 12 Ogos depan. – KOSMO! ONLINE

No comments:

Post a Comment