Translate

Saturday, April 1, 2023

Terengganu benarkan imam luar negara tarawih asalkan bertauliah

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri Terengganu tidak mempunyai halangan sekiranya pengurusan masjid dan surau di negeri ini menjemput imam luar negara pada bulan Ramadan ini.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, imam luar negara terbabit dibenarkan untuk mengimamkan solat tarawih di rumah-rumah ibadat Islam di negeri ini asalkan memiliki tauliah yang sah.

“Permohonan (imam solat tarawih) perlu dikemukakan kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam).

“Badan itu akan melakukan tapisan (untuk memperolehi tauliah). Kerajaan negeri Terengganu secara dasarnya tiada halangan,” katanya di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Terdahulu beliau ditemui ketika menyampaikan bantuan sekali bayar kepada 141 imam dan bilal skim Mubaligh seluruh Terengganu.

Kosmo! 20 Mac lalu melaporkan kerajaan negeri Selangor menyekat imam luar negara untuk menjadi imam solat tarawih di masjid dan surau seluruh negeri itu.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad berkata, pendekatan itu bagi memberi laluan sepenuhnya kepada graduan tahfiz tempatan.

Begitupun di Terengganu sudah menjadi kelaziman menjemput imam luar negara khususnya dari Timur Tengah untuk mengimarahkan masjid dan surau di negeri ini sepanjang bulan Ramadan. – KOSMO! ONLINE

No comments:

Post a Comment