Oleh MOHD AZLI ADLAN
KUALA TERENGGANU – Peminat air buah D’Flora tidak perlu lagi pergi ke Kampung Saujana, Setiu kerana cawangannya telah dibuka di Jalan Pasir Panjang di bandar raya ini pada Ramadan ini.
Sebelum ini, restoran air buah tersebut menjadi tular setelah salah seorang pelayannya dikenali Darlene Adrienne, 32, mencetus kontroversi apabila video dirinya dipeluk pelanggan lelaki tersebar di media sosial.
Darlene berkata, gerai berkenaan dibuka setelah restoran induk D’Flora di Setiu menutup sementara operasinya sepanjang Ramadan.
“Restoran D’Flora (Kampung Saujana) akan beroperasi semula seperti biasa selepas Hari Raya Aidilfitri.
“Sepanjang Ramadan ini, saya bekerja di gerai ini (Jalan Pasir Panjang),” katanya ketika ditemui Kosmo! di gerainya di sini kelmarin.
Gerai air buah tersebut beroperasi selepas waktu berbuka sehingga pukul 2 pagi setiap hari sepanjang Ramadan ini.
Tinjauan Kosmo! mendapati, gerai berkenaan menjadi tumpuan ramai pelanggan yang rata-ratanya lelaki bagi merasai keenakan air buah seperti tembikai, nanas, naga, jambu batu dan mangga yang dibancuh Darlene.
Kebanyakan pelanggan mula memenuhi gerai itu kira-kira pukul 9.30 malam iaitu selepas menunaikan solat sunat tarawih.
Jarak di antara Restoran D’Flora dengan gerai cawangan di Jalan Pasir Panjang, di sini kira-kira 66 kilometer.
Kosmo! pada 6 Julai 2022 melaporkan tular sebuah video yang memaparkan Darlene dipeluk oleh dua pelanggan lelaki di restoran di Kampung Saujana, Setiu.
Sepasukan anggota Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT) kemudiannya melakukan serbuan di restoran berkenaan bagi melakukan siasatan lanjut berhubung penularan video terbabit.
Berikutan insiden itu, wanita terbabit insaf dan mengambil pengajaran serta lebih berwaspada dalam perilakunya.
No comments:
Post a Comment