Translate

Sunday, April 30, 2023

Ramai masih tak dapat wang ihsan banjir

 Oleh MOHD AZLI ADLAN

TERENGGANU merupakan antara negeri yang paling terkesan akibat banjir musim tengkujuh pada hujung tahun lalu dengan senarionya dianggap terburuk dalam tempoh 36 tahun.

Sewaktu kemuncaknya pada pertengahan bulan Disember lalu, lebih 45,000 penduduk terjejas melibatkan kesemua lapan daerah di negeri ini.

Rata-rata mereka mengalami kerugian besar dengan sebahagian rumah dan struktur premis perniagaan mengalami kerosakan teruk akibat ditenggelami dan dihanyutkan bah.

Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri masing-masing menjanjikan bantuan wang ihsan bagi meringankan beban mangsa banjir terlibat.

Malangnya walaupun sudah hampir empat bulan banjir surut, agihan bantuan wang ihsan berjumlah sekurang-kurangnya RM1,000 setiap keluarga masih belum selesai.

Pelbagai isu timbul bagaikan rumah siap, pahat masih berbunyi. Bantuan wang ihsan kerajaan Persekutuan sudah mula diagihkan pada bulan Februari lalu, namun ramai mendakwa keciciran.

Agihan wang ihsan kerajaan negeri Terengganu pula telah ditangguhkan banyak kali dan di­jangka hanya mula diagihkan dalam masa terdekat.

Seorang wakil penduduk Taman Permint Perdana, Seberang Takir, Kuala Nerus, Mohd. Yatim Hashim mendakwa lebih 100 penduduk taman perumahan tersebut tercicir daripada me­nerima bantuan wang ihsan terbabit.

Dakwanya, nama mereka tiada dalam senarai penerima walaupun menetapi kriteria iaitu ­mangsa banjir yang mendaftar masuk di pusat pemindahan banjir dan mengisi butiran ketua isi rumah (KIR).

“Kami tidak dapat bantuan wang ihsan Kerajaan Persekutuan, manakala peringkat kerajaan negeri juga masih samar-samar.

“Saya percaya lebih ramai lagi senasib dengan kami di seluruh Terengganu. Sehubungan itu, memorandum telah dihantar agar pembaikan dilakukan segera,” katanya.

Mohd. Yatim berkata, wang ihsan berkenaan diperlukan untuk membaiki dan menggantikan perabot dan peralatan elektrik yang sudah rosak akibat banjir.

Tambah beliau, ia amat bererti pada waktu mencabar ini apatah lagi Hari Raya Aidilfitri pada di­sambut kira-kira dua minggu lagi.

Sementara itu, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar dalam respons segeranya berjanji menangani isu tersebut sebaiknya.

Sehubungan itu, beliau menyeru KIR terbabit agar tampil bagi membolehkan semakan kelayakan bantuan dapat dilakukan segera.

“Kita akan memastikan mereka yang layak tidak akan tercicir daripada menerima bantuan wang ihsan berkenaan.

“Saya akui berlaku kelewatan (agihan bantuan wang ihsan pe­ringkat negeri) berikutan beberapa isu teknikal seperti pertindihan tuntutan,” katanya.

Ahmad Samsuri memberitahu, kerajaan negeri Terengganu telah menerima 29,000 permohonan daripada keluarga mangsa banjir.

Dalam pada itu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat akan mengkaji mekanisme terbaik bagi memastikan masalah sama tidak berulang pada masa depan.

Antara yang dicadangkan ialah penilaian semula terhadap kaedah peruntukan bantuan wang ihsan tersebut yang di­salurkan kepada kerajaan negeri melalui pegawai daerah.

Kita berharap agar mangsa banjir berlaku jujur supaya tidak menjadi punca kelewatan orang lain menerima wang ihsan.

No comments:

Post a Comment