Translate

Sunday, April 2, 2023

KPDN patah cubaan seludup 21,000 liter diesel bersubsidi

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

DUNGUN – Cubaan untuk menyeludup 21,000 liter diesel berjaya dipatahkan pasukan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu di Kuala Dungun di sini semalam.

Serbuan di tapak projek pembinaan pada pukul 11.40 pagi itu turut berjaya menahan seorang lelaki berusia 30-an dipercayai penyelia projek berkenaan.

Pengarah KPDN Terengganu, Saharuddin Mohd. Kia berkata, serbuan tersebut dilakukan menerusi Ops. Tiris yang dilancarkan bagi membendung isu ketirisan diesel bersubsidi.

Beliau berkata, pasukan penguat kuasa agensi itu melakukan risikan selama seminggu sebelum melakukan serbuan di lokasi terbabit.

“Kita mengesyaki sesuatu mencurigakan apabila mendapat maklumat tentang bekalan diesel dalam kuantiti besar telah disimpan di lokasi terbabit.

“Serbuan berjaya merampas 21,000 liter diesel yang disimpan di dalam tangki skid dan lori dengan nilai keseluruhan RM102,580,” katanya di sini hari ini.

Saharuddin berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun jika sabit kesalahan.

Tambah beliau, bagi pesalah syarikat pula, hukuman maksimum RM2 juta boleh dikenakan jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE

No comments:

Post a Comment