Oleh MOHD AZLI ADLAN
MARANG – Seorang pelajar tingkatan dua Sekolah Kebangsaan Sultan Mansor, Kuala Terengganu maut selepas motosikal ditunggangnya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Kuala Berang berhampiran Masjid Binjai Rendah di sini hari ini.
Dalam kemalangan pada pukul 1.50 tengah hari itu, mangsa, Muhammad Solihin Mustaqim Shamsul Azmi, 14, meninggal dunia akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan beberapa anggota badan.
Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd. Zain Mat Dris berkata, sewaktu kejadian, remaja lelaki itu dikatakan dalam perjalanan ke Kuala Berang, Hulu Terengganu.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, sebuah lori dipandu seorang lelaki berusia 70 tahun dari arah bertentangan membuat pusingan U di hadapan Masjid Binjai Rendah.
“Lori yang mahu berpatah balik ke arah Kuala Berang itu dikatakan terlalu rapat dengan motosikal jenis Modenas Kriss ditunggangi mangsa,” katanya di sini hari ini.
Mohd. Zain berkata, ekoran itu, mangsa cuba mengelak namun motosikalnya tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas.
Tambahnya, impak kemalangan tersebut menyebabkan Muhammad Solihin Mustaqim cedera parah sebelum disahkan meninggal dunia oleh pengawai perubatan yang tiba tidak lama kemudian.
“Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik, Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu untuk tindakan lanjut. Kes masih disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – KOSMO! ONLINE
No comments:
Post a Comment