Translate

Wednesday, April 26, 2023

Pelita Raya Terengganu dianjur awal Ramadan mulai tahun depan

 Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Program Pelita Raya Terengganu yang menyajikan rekaan lebih 5,000 pelita raya dari semua daerah negeri itu bakal dianjurkan pada awal Ramadan mulai tahun hadapan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan Dan Teknologi Digital Terengganu, Ariffin Deraman berkata, ia bagi memberi peluang kepada lebih ramai pengunjung khususnya pelancong turut sama merasai kemeriahan program tahunan terbabit.

“Secara tradisinya kita menganjurkan program Pelita Raya Terengganu pada minggu terakhir Ramadan sempena malam tujuh likur seperti amalan orang dulu-dulu.

“Begitupun kami mendapat banyak permintaan terutama dalam kalangan pelancong agar program ini diadakan lebih awal bagi membolehkan mereka juga dapat ikut serta menyertainya,” katanya di Kampung Budaya Terengganu di sini malam tadi.

Terdahulu beliau ditemui pada majlis penutup program Pelita Raya Terengganu yang telah berlangsung selama lima hari sejak Jumaat lalu.

Ariffin berkata, kebanyakan pelancong berhasrat untuk mengunjungi negeri ini bagi menyaksikan program pelita raya namun mengadu tidak dapat berbuat demikian ekoran kekangan masa membuat persiapan raya pada minggu terakhir Ramadan ini. – KOSMO! ONLINE

No comments:

Post a Comment