Translate

Monday, April 3, 2023

Semua ahli politik kecuali Exco Agama tiada tauliah JHEAT

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payong, Mohd. Nor Hamzah merupakan satu-satunya ahli politik yang memiliki tauliah menyampaikan kuliah dan mengajar agama daripada Jabatan Hal Ehwah Agama Terengganu (JHEAT).

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, Mohd. Nor yang juga Pengerusi Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Terengganu menerima tauliah itu atas kapasiti sebagai exco yang bertanggungjawab menjaga hal ehwal agama Islam negeri.

“Dalam Peraturan-Peraturan Tauliah Terengganu 2013, pengecualian (tauliah) diberikan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri yang menjaga hal ehwal Islam.

“Setakat ini, tiada mana-mana ahli politik lain di negeri ini (kecuali Mohd. Nor) mempunyai tauliah (JHEAT),” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Multaqa Amil Zakat Terengganu di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, Shaikh Harun memberitahu, sepanjang pengetahuannya, pihaknya masih belum menerima permohonan untuk mendapatkan tauliah daripada mana-mana ahli dan aktivis parti politik tempatan diterima sejak 3 Mac lalu.

Begitupun, beliau mengalu-alu golongan tersebut tanpa mengira parti politik yang berminat untuk mengemukakan permohonan mendapatkan tauliah JHEAT berkenaan.

“Permohonan perlu dihantar secara individu dan mereka akan ditemuduga jawatankuasa penilaian dipengerusikan Mufti Terengganu, Dr. Mohamad Sabri Haron,” katanya.

Kosmo! 4 Mac lalu melaporkan Maidam melarang semua ahli dan aktivis politik daripada menyampaikan ceramah, kuliah dan pengajaran agama serta menjadi imam dan khatib solat Jumaat di masjid dan surau di seluruh Terengganu berkuatkuasa serta-merta. – KOSMO! ONLINE

No comments:

Post a Comment