Translate

Thursday, April 27, 2023

Dua wanita termasuk penjawat awam ditahan SPRM

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Dua wanita termasuk ketua pembantu tadbir sebuah jabatan kerajaan di Terengganu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), hari ini bagi membantu siasatan kes salah guna kuasa.

Sumber SPRM berkata, siasatan awal mengesyaki penjawat awam tersebut menggunakan kedudukannya untuk menyokong syarikat adik iparnya bagi mendapatkan perolehan pembekalan di jabatan kerajaan berkenaan.

“Siasatan setakat ini mengesyaki ia melibatkan lebih 10 perolehan pembekalan bernilai keseluruhan RM30,000 sejak tahun 2019.

“Suspek pertama yang merupakan ketua pembantu tadbir berusia 40-an yang ditahan pada pukul 1.45 tengah hari tadi ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Terengganu, di sini.

“Seorang lagi suspek iaitu pemilik syarikat berusia 30-an pula ditahan di lokasi sama pada pukul 2.10 petang,” katanya di sini, hari ini.

Sumber SPRM berkata, kedua-dua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret di sini esok bagi mendapatkan perintah reman.

Sementara itu, Pengarah SPRM Terengganu, Hazrul Shazreen Abd. Yazid mengesahkan penahanan tersebut.

Beliau berkata, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 23 (1) Akta Suruhan Raya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009. – KOSMO! ONLINE

No comments:

Post a Comment