Translate

Thursday, April 27, 2023

Lelaki putus tangan main mercun buatan sendiri

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Gara-gara bermain mercun buatan sendiri, seorang lelaki berusia 27 tahun putus tangan kiri dan sebahagian jari tangan kanan di Kampung Gong Pak Damat, di sini hari ini.

Kejadian yang turut mencederakan beberapa bahagian badan mangsa itu dikatakan berlaku pada pukul 3.30 pagi.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md. Isa berkata, siasatan awal mendapati lelaki tersebut telah membancuh mercun buatan sendiri menggunakan mercun bola dan paip PVC.

“Mercun buatan sendiri berkenaan telah menyebabkan letupan besar sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan serius.

“Tangan kiri putus hingga ke pergelangan, beberapa jari kanannya hancur manakala beberapa bahagian badan lain turut cedera,” katanya, di sini hari ini.

Rohaimi berkata, lelaki berkenaan telah dikejarkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 manakala pengedar dan penjual mercun bola terbabit sedang dikesan.

“Ini kes kedua kecederaan akibat bermain mercun di negeri ini sepanjang bulan Ramadan ini,” katanya.

Kosmo! Online 6 April lalu melaporkan seorang remaja lelaki berusia 13 tahun menjadi mangsa pertama bermain mercun pada bulan Ramadan ini. – KOSMO! ONLINE

No comments:

Post a Comment