Translate

Saturday, April 1, 2023

Majlis agama pantau aktiviti amil palsu kutip zakat fitrah

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) menasihatkan umat Islam di negeri ini berhati-hati agar tidak terperdaya menunaikan zakat fitrah kepada amil tidak bertauliah.

Ketua Pegawai Eksekutif Maidam, Prof Madya Dr. Ahmad Azrin Adnan berkata, pihaknya pernah menerima aduan berhubung kewujudan amil palsu pada bulan Ramadan tahun lalu.

Beliau memberitahu, siasatan telah dilakukan namun malangnya tindakan penguatkuasaan tidak dapat diambil berikutan kekurangan bukti.

“Begitupun, saya ingin ingatkan perbuatan mengutip dan membayar zakat termasuk zakat fitrah merupakan satu kesalahan.

“Hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda maksimum RM1,000 boleh dikenakan mengikut Seksyen 41 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001,” katanya di sini hari ini.

Ahmad Adnan berkata, Maidam hanya mengiktiraf 954 amil yang telah melepasi saringan ketat Maidam.

Dalam pada itu, Ahmad Azrin memberitahu, kaunter zakat Maidam termasuk pandu lalu akan beroperasi setiap hari mulai 2 April hingga 21 April depan.

“Tiga kadar ditetapkan bagi zakat fitrah pada tahun ini mengikut jenis beras yang dimakan iaitu RM8, RM10 dan RM24 seorang,” katanya.

Pembayaran zakat fitrah di Terengganu boleh dilakukan secara online melalui portal ezakat.maidam.gov.my bagi memudahkan masyarakat menunaikan zakat fitrah pada bil-bila masa.- KOSMO! ONLINE

No comments:

Post a Comment