Translate

Saturday, April 29, 2023

Dua ‘transporter’ ditangkap ketika punggah mercun

Oleh MOHD AZLI ADLAN

BESUT – Dua lelaki yang sedang memunggah mercun dipercayai diseludup masuk dari negara jiran tergamam apabila diserbu sepasukan polis di Kampung Beris Cawat, Kuala Besut di sini pada kelmarin.

Dalam serbuan pada 9.30 pagi itu, dua lelaki berusia 24 dan 34 tahun berkenaan diberkas bersama sejumlah 14 jenis mercun pelbagai jenis dianggarkan bernilai RM10,000.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Muhammad berkata, sebelum itu, sepasukan anggota Polis Gerakan Am (PGA) Batalion 7, Kuantan, Pahang telah mengesan sebuah kenderaan pelbagai guna, Proton Exora mencurigakan di Bandar Baru Tanah Merah, Kelantan.

Beliau berkata, kenderaan Proton Exora tersebut telah diekori sehingga memasuki sempadan daerah ini sejauh kira-kira 59 kilometer dan sebaik tiba di lokasi kejadian, sebuah kenderaan pacuan empat roda, Pajero dinaiki dua suspek telah sedia menunggu di tepi jalan.

“Mereka kemudiannya memunggah mercun terbabit ke dalam kenderaan pacuan empat roda tersebut dari Proton Exora sebelum anggota polis terlibat memperkenalkan diri,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Besut, di sini, hari ini.

Abdul Rozak berkata, dua suspek yang menaiki pacuan empat roda itu berjaya diberkas namun pemandu Proton Exora berjaya melepaskan diri.

Tambah beliau, siasatan awal mengesyaki kedua-dua suspek merupakan ‘transporter’ yang mahu membawa masuk mercun dari negara jiran itu untuk pasaran Kuala Terengganu.

“Kedua-dua suspek berusia 24 dan 34 tahun yang positif dadah jenis methamphetamine masing-masing mempunyai dua dan tiga rekod jenayah lampau dan ditahan reman sehingga Khamis ini, bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957,” katanya. – KOSMO! ONLINE

No comments:

Post a Comment