Translate

Wednesday, April 26, 2023

Jualan Rahmah berjaya tawar lebih banyak barangan murah

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

BESUT – Sebahagian besar pemain industri sektor peruncitan tempatan didapati telah menawarkan barang keperluan pada harga yang lebih menjimatkan sejak program Jualan Rahmah dilancarkan pada hujung tahun lalu.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, pemantauan mendapati pengusaha sektor terbabit juga memainkan peranan lebih proaktif dalam menawarkan penjimatan.

“Pada waktu ini, kita melancarkan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Aidilfitri melibatkan 30 barangan.

“Sebahagian pasar raya didapati turut memperkenalkan pelbagai pakej lain pada harga murah sehingga 100 barangan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri,” katanya.

Terdahulu beliau ditemui ketika melancarkan program Jualan Rahmah di sebuah pasar raya di Jabi di sini hari ini.

Salahuddin berkata, KPDN amat menghargai kerjasama diberi pemain sektor peruncitan tersebut dalam menjayakan aspirasi kerajaan dalam meringankan kos sara hidup rakyat.

Tambah beliau, besar harapannya agar inisiatif Payung Rahmah terbabit dapat menjadi sistem terbaik membantu rakyat yang memerlukan pada masa hadapan.

Sementara itu, Salahuddin menegaskan semua peniaga perlu mematuhi harga siling ditetapkan di bawah SHMMP Aidilfitri bagi meringankan kos sara hidup rakyat. – KOSMO! ONLINE

No comments:

Post a Comment