Translate

Saturday, April 1, 2023

Orang Terengganu gelisah tak cukup telur ayam

 Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Terengganu mula menghadapi masalah kekurangan bekalan telur ayam pada minggu pertama bulan Ramadan ini dengan hanya 400,000 biji berada di pasaran pada setiap hari.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) negeri, Saharuddin Mohd. Kia berkata, bekalan telur ayam tersebut tidak memadai dengan permintaan harian penduduk negeri ini iaitu kira-kira satu juta.

Beliau berkata, bekalan sebanyak 400,000 biji telur ayam itu juga jauh lebih rendah berbanding 600,000 biji sehari yang dibekalkan di negeri ini sebelum ketibaan bulan Ramadan.

“Terengganu tidak mempunyai industri ayam penelur dan terpaksa membawa masuk telur daripada negeri-negeri lain se­perti Melaka, Johor, Negeri Sembilan, Pahang, Selangor, dan Pe­rak.

“Begitupun permintaan tinggi di negeri pengusaha telur ayam terbabit pada masa ini menyebabkan mereka terpaksa menumpukan pasaran tempatan menyebabkan bekalan di Terengganu telah berkurangan secara drastik,” katanya di sini semalam.

Saharuddin berkata, penurunan bekalan sehingga 33 peratus tersebut telah memberi kesan lebih besar kepada pengguna.

Jelas beliau, ia disebabkan permintaan telur ayam turut meningkat mendadak dalam kalangan peniaga bazar Ramadan dan pengusaha biskut raya tempatan.

“Begitupun, pemeriksaan mendapati telur ayam masih boleh diperolehi pengguna de­ngan hanya masing-masing satu pemborong dan peruncit di ne­geri ini yang benar-benar sudah kehabisan stok.

“Kebanyakan pemborong juga telah mengambil inisiatif me­nempah daripada pengusaha dengan bayaran tunai agar bekalan telur ayam kekal stabil di pasaran,” katanya.

Sehubungan itu, Saharuddin menasihatkan pengguna terutama golongan peniaga tempatan tidak melakukan pembelian panik yang akan memburukkan lagi keadaan.

Beliau juga bertegas agar pemborong dan peniaga agar tidak ambil kesempatan menaikkan harga kerana telur ayam merupakan barangan kawalan.

“Kita akan sentiasa pantau pembekal dan pemborong di negeri ini,” jelasnya.

No comments:

Post a Comment