Translate

Tuesday, October 25, 2016

Tahanan reman dua tukang rumah disambung

KUALA TERENGGANU – Tempoh reman dua tukang rumah yang disyaki bersubahat dengan Mohd. Hafiz Mohamad yang menikam mati bakal abang iparnya di tempat letak kereta Kompleks Seri Iman di sini pada 16 Oktober lalu dilanjutkan selama empat hari lagi.

Perintah sambungan reman sehingga Khamis ini terhadap kedua-dua suspek tersebut telah dibenarkan oleh Pendaftar Kanan Mahkamah Sesyen, Rosila Nik di Mahkamah Sesyen di sini semalam.

Sebelum ini,  rakan Mohd. Hafiz yang dipercayai membantu suspek utama itu melarikan diri dengan memandu kereta Honda Civic miliknya telah ditahan di sebuah rumah di Kampung Buluh Gading, Manir dekat sini beberapa jam selepas insiden bunuh tersebut berlaku.

Tidak lama kemudian, bapa saudaranya berusia 55 tahun pula ditahan kerana disyaki membantu menyorokkan kereta tersebut di kawasan padang berhampiran kandang lembu di Kampung Dusun Tembakau, Manir.

Kedua-dua suspek telah direman selama tujuh hari sehingga semalam mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah bagi membantu siasatan kes bunuh terbabit.

Suspek utama, Mohd. Hafiz, 29, pula berjaya diberkas dalam keadaan kelaparan di tepi Jalan Jeram, Kampung Petai Bubus, Manir pada Rabu lalu.

Kosmo! 17 Oktober lalu  melaporkan pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan Pengkalan Kubor, Muhamad Shukri Husin, 34, maut selepas ditikam sebanyak enam kali di bahagian dada dan leher oleh bakal adik iparnya di tempat letak kereta Kompleks Seri Iman.

Mohd. Hafiz yang berhasrat mengahwini adik mangsa, Azlina, 27, dipercayai bertindak demikian selepas berang rahsianya yang merupakan suami orang dibongkar ahli keluarga kekasihnya itu.

No comments:

Post a Comment