KUALA NERUS - Penduduk Kampung Tanjung Gelam, Mengabang Telipot di sini gempar dengan fenomena rumpai laut berwarna merah jambu yang ditemui terdampar di sepanjang pantai perkampungan tersebut sejak kelmarin.
Kehadiran puluhan kilogram rumpai laut yang mengeluarkan bau hanyir itu kira-kira 100 meter di sepanjang pantai berkenaan telah mencetuskan tanda tanya dalam kalangan penduduk kampung berkenaan.
Seorang penduduk, Habsah Muda, 53, berkata, dia dan beberapa penduduk kampung mula menyedari lambakan rumpai laut terbabit pada pukul 12 tengah hari, Jumaat lalu.
"Pada mulanya, kami ingatkan ia sekadar timbunan sampah yang dibawa oleh ombak laut namun bau hanyir yang dikeluarkan oleh objek itu telah menarik perhatian kami.
"Setelah diamati rupa-rupanya ia rumpai laut yang berwarna merah jambu dan warnanya akan bertukar kepada merah apabila kering. Kuantitinya semakin banyak terdampar di sepanjang pantai mulai awal pagi tadi," katanya ketika ditemui Kosmo! di sini hari ini. - K! ONLINE
No comments:
Post a Comment