Translate

Thursday, October 27, 2016

Tiga lagi mangsa masuk hospital

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Tiga mangsa insiden belon meletup pada program Walk for the Blind di Dataran Batu Burok di sini pada Jumaat lalu yang sebelum ini dirawat sebagai pesakit luar telah dimasuk­kan ke wad Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini akibat kom­plikasi kebakaran kulit.

Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Mohammad Omar berkata, seorang kakitangan HSNZ berusia 49 tahun dan dua anaknya masing-masing berumur tujuh dan 11 tahun itu dimasukkan ke wad tersebut selepas menjalani rawatan susulan kelmarin.

“Ia menjadikan 10 mangsa masih dirawat di HSNZ terma­suk seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun yang ditahan di Unit Rawatan Rapi hospital ini.

“Dia mengalami kebakaran kulit sebanyak 18 peratus manakala mangsa-mangsa lain yang masing-masing ditempatkan di Wad Unit Kebakaran dan Unit Plastik pula melecur pada kadar dua dan tiga peratus,” katanya selepas melawat mangsa insiden belon meletup berkenaan di HSNZ di sini semalam.

Mohammad berkata, kesemua mangsa mengalami kebakaran kulit pada muka dan kedua-dua tangan dan enam daripada mereka hanya mengalami kelecuran pada permukaan kulit.

Menurut beliau, kecederaan empat mangsa lain pula agak serius dan memerlukan pemindahan kulit yang bakal dilakukan terhadap mereka selewat-lewatnya hari ini.

“Pakar-pakar perubatan HSNZ cuba untuk mengelakkan mangsa-mangsa tersebut daripada terkena serangan kuman yang dikhuatiri boleh memberi komplikasi kesihatan selain memastikan tidak menyebabkan parut tebal kekal yang akan memberi kesan psikologi pada masa hadapan.

“Kesemua mangsa juga menjalani sesi kaunseling bagi mengurangkan trauma akibat insiden tersebut,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Mohammad berkata, Jabatan Kesihatan negeri menyerahkan kepada polis tindakan selanjutnya terhadap pembekal sekiranya terbukti belon-belon yang meletup itu diisi gas hidrogen.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati, belon-belon itu berkemungkinan besar tidak diisi dengan gas helium seperti didakwa pembekal terbabit.

Kosmo! sebelum ini melapor­kan, seramai 30 peserta program Walk for the Blind yang diadakan sempena Hari Penglihatan Sedunia peringkat Terengganu cedera selepas 150 biji belon didakwa berisi gas hidrogen tiba-tiba meletup dan terbakar.

Sewaktu kejadian, beberapa petugas HSNZ sedang mele­raikan ikatan tali belon tersebut untuk diagih-agihkan kepada sekumpulan kanak-kanak yang turut menghadiri program tersebut.

No comments:

Post a Comment