Translate

Saturday, October 8, 2016

Dendam punca Mat Kila serang, tetak sepupu

KUALA TERENGGANU – Seorang lelaki yang dikenali sebagai Mat Kila ditahan kerana disyaki bersama dua lelaki lain menyerang sepupu lelakinya di Kampung Gong Pasir Oh, Jertih dekat Besut kelmarin.

Dalam kejadian pada pukul 2.30 pagi itu, mang­sa yang berumur 41 tahun ditemui isterinya dalam keadaan cedera pada kepala, bahu kanan, tangan kanan dan belakang badan akibat ditetak ketiga-tiga penye­rangnya.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd. Zamri Mohd. Rowi (gambar) berkata, Mat Kila berjaya diberkas di belakang sebuah rumah di Kampung Arpal Jerteh dekat Besut pada pukul 11 pagi semalam.

“Dalam kejadian tersebut, mangsa yang bekerja sebagai buruh telah diserang oleh tiga penyerang memakai penutup muka dan bersenjatakan pedang di hadapan rumahnya.

“Dia yang ditetak pada beberapa anggota badan dijumpai isterinya sebelum dihantar ke Hospital Besut,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Mohd. Zamri berkata, mangsa ketika ditemui polis memberitahu, dia mengesyaki salah seorang penyerang merupakan sepupu lelakinya yang dikenali sebagai Mat Kila berdasarkan suara dan bentuk fizikal.

Menurut beliau, maklumat tersebut membawa kepada penahanan suspek yang mempunyai lima rekod jenayah lampau termasuk pe­nyalahgunaan dadah dan memiliki harta curi.

“Berdasarkan siasatan awal kejadian dipercayai berpunca daripada pertikaian keluarga.

“Suspek kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment