“NIKMATI perlawanan esok (malam ini) dalam suasana berseronok dan jangan sesekali tertekan.”
Itu amanat pengendali T-Team, Rahmad Darmawan kepada anak-anak buahnya menjelang aksi separuh akhir kedua kempen Piala Malaysia 2016 menentang Selangor di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam ini.
Rahmad berkata biarpun bakal berhadapan dengan pertarungan paling mencabar musim ini, pemain-pemainnya perlu tenang agar kekal fokus bagi merencanakan setiap taktikal yang telah dirancang di atas padang.
“Walaupun ketinggalan secara agregat, pemain-pemain telah diingatkan agar tidak terlalu ghairah untuk memburu jaringan.
“Mereka perlu juga berganding bahu untuk mengelak daripada gawang dibocori. Jika tidak, tugas kita untuk melangkah ke pentas akhir (Piala Malaysia) sudah pasti semakin sukar,” kata Rahmad selepas memantau sesi latihan terakhir skuad T-Team di Stadium Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu semalam.
Rahmad yang merupakan bekas jurulatih skuad Bawah 23 Indonesia berkata anak-anak buahnya dituntut agar bermain dengan corak pantas sepanjang 90 minit perlawanan itu nanti.
Begitupun pengendali berusia 49 tahun tersebut juga mahu kesebelasan utama yang bakal diturunkan kelak bijak mengimbangi antara corak menyerang dan bertahan bagi memerangkap pergerakan Selangor.
“Kita harus sentiasa waspada kerana Selangor bukan calang-calang pasukan apatah pasukan itu merupakan juara bertahan,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Rahmad optimis ketiadaan tonggak pertahanan, Abdoulaye Maiga akibat penggantungan tidak akan merencatkan benteng pertahanan T-Team.
“Memang benar ketiadaan Maiga memang sedikit sebanyak dirasai namun bola sepak adalah permainan berpasukan. Kami juga sudah membuat persediaan termasuk melakukan simulasi dalam sesi latihan tanpa dia (Maiga).
“Saya akan memilih salah seorang antara Hasbullah Awang, Marzuki Yusoff atau Wan Ahmad Amirzafran untuk menggalas tugas Maiga pada perlawanan itu kelak,” katanya.
Pada aksi pertama di Shah Alam 1 Oktober lalu, T-Team tewas 1-2 namun mereka kini memiliki kelebihan jaringan di tempat lawan.
Mereka hanya perlu menang 1-0 malam ini untuk mengesahkan tempat ke final.
No comments:
Post a Comment