Translate

Wednesday, October 12, 2016

2 murid lari sekolah sesat 10 jam

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Gara-gara mahu menyaksikan perlumbaan motosikal, dua murid tahun empat Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Panjang di sini sanggup berjalan kaki sejauh kira-kira 10 kilometer (km) sebelum tersesat 10 jam kerana terlupa jalan pulang ke rumah.

Kedua-dua murid itu, Wan Noraiman Haikal Wan Saifuddin Hafiz dan Muhammad Fakrullah Mohd. Fahimie masing-masing berumur sepuluh tahun sebelum itu mengikuti sambutan Hari Sukan Negara di padang sekolah mereka yang bermula pada pukul 7.30 pagi.

Bagaimanapun, ketika sambutan Hari Sukan Negara baru setengah jam bermula, kedua-dua kanak-kanak itu menyelusup keluar dari SK Pasir Panjang dan mula berjalan menuju ke Litar Lumba Permotoran Gong Badak yang terletak di pekarangan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus.

Mereka yang masing-masing berbekalkan wang saku RM3 teruja untuk menonton perlumbaan motosikal jarak dekat di litar tersebut.

Malangnya, sebaik tiba di Litar Lumba Permotoran Gong Badak pada pukul 10 pagi, bukan sahaja perlumbaan motosikal lumba jarak dekat itu tidak wujud malah mereka juga terlupa jalan pulang.

Gara-gara hilang punca, kedua-dua murid itu berlegar-legar di sekitar Gong Badak dan Seberang Takir mencari jalan pulang dengan wang saku masing-masing sudah habis dibelanjakan untuk membeli makanan.

Nasib baik masalah yang dihadapi Wan Noraiman dan Muhammad Fakrullah disedari oleh penduduk di Kampung Batin, Seberang Takir pada pukul 8 malam ketika mereka berhenti rehat di kampung itu. Ke­dua-dua sahabat itu kemudian dihantar pulang oleh penduduk kampung ke SK Pasir Panjang.

Muhammad Fakrullah berasal dari Kampung Masjid Haji Kadir manakala Wan Noraiman berasal dari Kampung Gelong Bilal.

Muhammad Fakrullah memberitahu, dia dan Wan Noraiman berjalan kaki ke litar motosikal tersebut selepas mendapat berita ada perlumbaan motosikal di Litar Gong Badak pada  hari tersebut.

“Saya dan Wan Noraiman meninggalkan aktiviti sambutan Hari Sukan Negara menerusi pintu pagar belakang sekolah dan terus berjalan sehingga sampai di Litar Lumba Permotoran Gong Badak.

“Namun sebaik mendapati tiada perlumbaan motosikal kami berdua amat kecewa dan bercadang berjalan kaki pulang ke rumah,” katanya ketika ditemui di SK Pasir Panjang di sini malam kelmarin.

Bagaimanapun, Muhammad Fakrullah memberitahu, ketika mahu bergerak pulang, dia dan rakannya hilang arah.

“Semasa jalan tidak tentu arah, saya dan Wan Noraiman sangat letih, lapar dan dahaga sehingga kami meminta air daripada penduduk kampung.

“Penduduk kampung yang bertanya mengenai kami yang sesat kemudian menghantar saya dan Wan Noraiman pulang ke sekolah semula,” katanya dengan memberitahu dia dan rakannya sampai semula ke sekolah pada pukul 9 malam.

Sementara itu, Mohd. Fahimie Mamat, 30, iaitu bapa kepada Muhammad Fakrullah berkata, dia menyedari kehilangan anak­nya selepas dihubungi pihak sekolah pada pukul 6 petang.

Dia yang cemas selepas usaha mencari anaknya di kawasan sekitar sekolah dan di kaki Bukit Bayas gagal telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu pada hari sama.

“Saya dan isteri kemudian menunggu di sekolah sebelum anak saya dan rakannya dihantar oleh penduduk Kampung Batin pada pukul 9 malam,” katanya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Suffian Sulaiman mengesahkan kes tersebut dan memberitahu, kedua-dua kanak-kanak terbabit sudah diserahkan kepada penjaga masing-masing.

No comments:

Post a Comment