Translate

Saturday, October 22, 2016

Terengganu bersedia hadapi musim tengkujuh

PADA waktu ini, beberapa lokasi di Selangor, Kedah, Perlis dan Perak ditenggelami air berikutan fenomena air pasang besar yang bermula Jumaat lalu.

Setakat ini, persiapan rapi yang telah dibuat dapat meminimumkan kemusnahan harta benda dan kemalangan jiwa di empat negeri di Pantai Barat tersebut.

Fenomena air pasang yang berpunca daripada kesan tarikan graviti bulan dengan Bumi berserta hujan lebat serta angin kencang itu dijangka berakhir hari ini dan tumpuan bakal beralih arah ke Pantai Timur yang dijangka dilanda musim tengkujuh bermula pertengahan bulan depan.

Ramalan menjangkakan negeri-negeri di Pantai Timur termasuk Terengganu bakal dilanda banjir besar sepanjang musim tengkujuh berkenaan berikutan fenomena La Nina menyebabkan lebihan hujan 20 peratus yang dibawa angin Monsun Timur Laut.

Biarpun banjir pada tahun ini diramal tidak seburuk bah kuning yang melanda pada 2014 namun tidak bermakna ia boleh dipandang ringan.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Terengganu, Leftenan Kolonel Che Adam A. Rahman berkata, kawasan rendah di seluruh negeri ini terutama di Kemaman, Kuala Nerus dan Kuala Terengganu berisiko tinggi untuk dilanda bah pada musim tengkujuh kali ini.

Beliau berkata, berdasarkan data yang diterima daripada Jabatan Pengairan dan Saliran negeri, aras air laut di perairan daerah Kemaman, Kuala Nerus dan Kuala Terengganu akan berada pada paras tinggi dari 15 November hingga 31 Disember depan.

“Aras air laut di kedua-dua daerah itu berada pada paras melebihi 2.5 meter pada tempoh 15 hingga 21 November, 29 dan 30 November, 1 dan 6 Disember, 13 hingga 20 Disember dan 28 hingga 31 Disember.

“Sekiranya keamatan (taburan) hujan melebihi 100 militer sehari dan ia berlarutan melebihi 48 jam dalam tempoh sama kemungkinan banjir berlaku di kawasan terbabit adalah besar," katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Che Adam yang juga Sekretariat Pengurusan Bencana negeri berkata, sebanyak lapan sistem Web Kamera Pemantauan Banjir telah dipasang di seluruh negeri ini masing-masing dua di Kemaman, Setiu dan Besut manakala sebuah di Hulu Terengganu.

Menurut beliau, persiapan rapi bagi menghadapi banjir itu telah digerakkan menerusi pengisytiharan Oktober ini sebagai Bulan Kesiapsiagaan Nasional mulai awal bulan ini.

“Sepanjang bulan tersebut, selain hebahan secara berkala kepada rakyat, agensi-agensi kerajaan yang terlibat dalam Sekretariat Pengurusan Bencana negeri akan melakukan simulasi pengurusan bencana mengguna pakai Sistem Pengurusan Banjir Kemaman.

“Sistem tersebut telah mene­rima pengiktirafan antarabangsa apabila mendapat kedudukan lima teratas dalam ka­tegori Infrastruktur Komunikasi dan Maklumat pada Sidang Kemuncak Dunia Masyarakat Bermaklumat yang diadakan di Geneva, Switzerland, Mei lalu,”  katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan Terengganu, Tengku Zaihan Che Ku Abd. Rahman berkata, kerajaan negeri telah mengarahkan kesemua resort dan calet di pulau peranginan di negeri ini menutup operasi secara berperingkat-peringkat mulai awal bulan ini.

Beliau berkata, penutupan melibatkan 79 tempat penginapan di Pulau Perhentian, Pulau Kapas, Pulau Gemia, Pulau Tenggol dan Pulau Lang Tengah sehingga awal Januari tersebut bertujuan mengelak sebarang insiden tidak diingini sepanjang musim tengkujuh kelak.
“Kita perlu mengutamakan keselamatan pelancong. Sepanjang empat bulan penutupan tersebut, saya berharap pengusaha resort dan calet terbabit dapat melakukan kerja-kerja penyelenggaraan dan menaik taraf kemudahan penginapan masing-masing,” katanya.

Mengulas persiapan menghadapi banjir, Menteri Besar Terengganu, Ahmad Razif Abd. Rahman pula memberitahu,  kerajaan negeri telah membeli 80 buah bot penyelamat tambahan melibatkan peruntukan RM800,000 baru-baru ini.

Beliau berkata, bot terbabit akan diagih-agihkan ke lapan daerah di negeri ini dalam masa terdekat dengan setiap daerah menerima 10 buah bot.

“Kesemua bot yang akan digunakan untuk kerja-kerja menyelamat penduduk semasa musim banjir itu akan ditempatkan di setiap pejabat tanah dan daerah terlibat,” katanya.

Apa pun, kerjasama daripada penduduk yang terlibat banjir untuk mematuhi prosedur standard operasi yang ditetapkan pihak berkuasa sangat penting bagi memastikan kejayaan setiap pelan pengurusan bencana yang telah direncanakan.

Semoga tragedi yang memusnahkan banyak harta benda dan meragut nyawa termasuk dua di Terengganu sewaktu bah kuning tahun 2014 dapat diminimumkan walaupun kita tidak mungkin mampu melawan hukum alam dan ketentuan Tuhan.

No comments:

Post a Comment