Oleh AZLI ADLAN, MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM, FARHANA HANIM MOHD. MYDIN, IKHWAN IDERIS dan MUHAMMAD AYMAN GHAFFA
SERDANG – Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah bertitah agar jalinan ukhuwah dan permuafakatan antara ulama serta pemimpin harus terus diperteguh demi kepentingan ummah dan negara.
“Beta amat menghargai peranan para ulama dan umarak (pemimpin) yang telah melaksanakan segala tanggungjawab mereka dengan penuh ikhlas dan amanah.
“Beta juga yakin, apabila muafakat dan jalinan ukhuwah kedua-dua golongan ini terlaksana dengan baik, maka akan baiklah juga jalinan ukhuwah serta permuafakatan dalam kalangan rakyat jelata seluruhnya,” titah Seri Paduka Baginda pada majlis Sambutan Maal Hijrah peringkat kebangsaan 1438H/2016 di Taman Ekspo Agropertanian Malaysia Serdang (Maeps) di sini semalam.
Turut berkenan berangkat Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah.
Hadir sama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak serta isteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi serta isteri, Datin Seri Hamidah Khamis.
Pada sambutan yang bertemakan Ukhuwah Islamiah Asas Penyatuan Ummah, seramai 10,000 peserta menyertai perhimpunan dan perarakan melibatkan 105 kontinjen terdiri daripada pelbagai agensi kerajaan, swasta, badan berkanun, badan beruniform dan pertubuhan bukan kerajaan.
Pada majlis berkenaan, Anugerah Khas Maal Hijrah yang diperkenalkan buat julung-julung kalinya pada tahun ini, dianugerahkan kepada bekas Mursyidul Am Pas, Allahyarham Datuk Dr. Haron Din.
Sementara itu, bekas Ketua Hakim Negara, Tun Dr. Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim dipilih sebagai Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan 1438H.
Masing-masing menerima hadiah berbentuk wang tunai RM100,000, medal dan sijil penghargaan.
Dalam pada itu, sambutan tahun baru Islam itu turut disambut meriah di seluruh negara.
Di Bagan Serai, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, peristiwa hijrah bukan sahaja menghasilkan kejayaan besar dalam pembentukan negara berteraskan syariat, malah membentuk akhlak mulia dengan nilai persaudaraan sejagat yang menjadi pemangkin kepada terciptanya era kegemilangan Islam.
Di Kuala Terengganu, Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menyeru umat Islam agar mengambil nilai positif dalam peristiwa hijrah untuk dipraktikkan dalam kehidupan seharian.
Baginda bertitah generasi awal Islam sanggup meninggalkan kemewahan harta benda dan keselesaan dunia untuk berjuang memartabatkan agama Islam bersama-sama Nabi Muhammad.
Di Kuantan, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah, tema sambutan Maal Hijrah kali ini mengenai penyatuan ummah perlu diperhalusi bagi memperkukuhkan perpaduan.
“Saya menyeru kepada semua khususnya pemimpin politik di mana sekalipun supaya muhasabah diri dan membuka tirai baharu. Apa gunanya negara kita telah merdeka selama 59 tahun sekiranya rakyat masih berpecah?” titah baginda.
No comments:
Post a Comment