Translate

Sunday, October 30, 2016

12 ekor gajah mengamuk serang kebun

Oleh AZLI ADLAN

SETIU – Sekumpulan gajah liar kembali ‘menyerang’ kebun penduduk Kampung Pelong di sini baru-baru ini hingga menyebabkan penduduk kerugian RM100,000.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Pelong, Abdul Rahman Abdul Bakar (gambar kecil) berkata, amukan itu dipercayai angkara 12 ekor gajah liar.

“Gajah-gajah ini telah  memusnahkan kebun pisang, tebu dan kelapa sawit milik penduduk.

“Serangan gajah liar ini bukannya asing bagi penduduk perkampungan ini. Sejak beberapa tahun lalu, kami mengalami kerugian dianggarkan mencecah RM400,000 setahun selepas hasil tanaman yang diusahakan dimusnahkan kumpulan gajah liar.
“Kami ketakutan dan buntu kerana kehadiran kumpulan haiwan terbabit tidak pernah reda walaupun pelbagai usaha telah diambil termasuk memasang pagar elektrik baru-baru ini,” katanya kepada pemberita di  sini semalam.

Sementara itu Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, Mohd. Hasdi Husin berkata, gerakan untuk mengesan dan menangkap kumpulan gajah liar yang memusnahkan kebun penduduk itu telah dilakukan sebaik menerima aduan penduduk.

Beliau berkata, operasi mengesan dan menangkap haiwan tersebut telah dilakukan lapan anggota agensinya pada setiap malam di lokasi-lokasi yang telah dikenal pasti.

“Kita akan meneruskan operasi tersebut sehingga keadaan kembali terkawal dan kumpulan gajah liar itu dapat dijejak,” katanya.

No comments:

Post a Comment