Translate

Saturday, October 29, 2016

Atlet Terengganu terima insentif

JAGUH berbasikal negara, Azizulhasni Awang dihadiahkan sebuah apartmen bernilai RM250,000 pemberian kerajaan negeri Terengganu sebagai insentif kerana berjaya memenangi pingat gangsa menerusi acara keirin pada Sukan Olimpik 2016 di Rio, Brazil baru-baru ini.

Menteri Besar Terengganu, Ahmad Razif Abd. Rahman berkata, atlet kelahiran Dungun itu juga diberi ganjaran wang tunai RM20,000 kerana turut mengharumkan nama negeri tersebut di mata dunia menerusi kejayaannya di pentas Olimpik.

“Empat atlet kelahiran Terengganu lain yang bertanding pada Sukan Olimpik dan Paralimpik tersebut turut menerima insentif wang tunai RM10,000 setiap seorang.

“Mereka ialah Fatehah Mustafa (berbasikal), Khairul Anuar Mohamad (memanah) dan Mohd. Hafifi Mansor (angkat berat) serta atlet Paralimpik, Mohamad Azwar Bakar (pingpong),” kata beliau selepas menghadiri majlis penyampaian insentif tersebut di Primula Beach Resort, Kuala Terengganu semalam.

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan menyampaikan insentif tersebut kepada atlet-atlet terbabit.

Ahmad Razif berkata, lapan pemain Pasukan Hoki Terengganu (THT) kelahiran negeri itu termasuk Mohd. Shahrun Nabil Abdullah, Muhammad Shahiram Zali serta Mohd. Fitri dan Faizal Shaari turut dianugerahkan lot kediaman di daerah kelahiran masing-masing.

Menurut beliau, 14 pegawai dan pemain luar THT lain yang berjaya merangkul kejuaraan berganda Liga Hoki Malaysia musim ini pula masing-masing menerima insentif wang tunai RM10,000.

“Pasukan Berbasikal Terengganu (TSG) yang cemerlang pada kejohanan Le Tour de Langkawi 2016 pula menerima ganjaran wang tunai RM15,000. Insentif RM80,000 pula diberikan kepada pasukan ragbi negeri atas kejayaan muncul juara kejohanan Tujuh Sebelah kebangsaan baru-baru ini,” tambahnya.

Ahmad Razif memberitahu, pasukan negeri yang menyertai Kejohanan Kuda Lasak Dunia di Slovakia baru-baru ini juga menerima ganjaran wang tunai RM35,000 selain pemberian sebuah lot kediaman di daerah Kuala Nerus kepada Mohamad Hazrul Faiz Ahmad Sobri atas kejayaan mendaki Gunung Everest baru-baru ini.

Pada majlis sama, kerajaan negeri Terengganu turut menerima tajaan RM35 juta yang disumbangkan pelbagai syarikat korporat untuk digunakan bagi tujuan pembangunan sukan negeri pada tahun depan.

No comments:

Post a Comment