Translate

Thursday, October 20, 2016

Suspek kebulur sewaktu diberkas

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Akibat kelaparan selepas em­pat hari bersembunyi di rumah-rumah kosong di sekitar Manir di sini, lelaki yang menjadi suspek kes tikam bakal abang ipar sampai mati akhirnya keluar dari tempat persembunyi­an sebelum diberkas polis.

Tukang rumah yang berusia 29 tahun itu berjaya ditangkap polis di Kampung Petai Bubus, Manir semalam selepas dikatakan keluar mencari makan di tepi jalan di kampung itu akibat kelaparan sekitar pukul 12 tengah hari.

Suspek yang disyaki membunuh Muhamad Shukri Husin, 34, dengan menikam bertubi-tubi leher dan dada mangsa, ditemui dalam keadaan kelaparan dan keletihan di tepi jalan berkenaan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Wan Abd. Aziz Wan Hamzah berkata, Mohd. Hafiz Mohamad yang dalam keadaan tidak bermaya cuba juga melarikan diri dengan bersembunyi di bawah sebuah rumah dan kawasan padang berhampiran tetapi gagal.

“Sebaik diberkas, suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu untuk disoal siasat.

“Siasatan awal mendapati dia telah bersembunyi di beberapa buah rumah tinggal yang sudah lama tidak berpenghuni di sekitar Manir sejak menjadi buruan polis pada Ahad lalu,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu di sini semalam.

Wan Abd. Aziz memberitahu, motosikal Honda EX5 yang digunakan suspek untuk melarikan diri masih belum dijumpai dan polis akan memohon perintah reman terhadap suspek mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah bagi membantu siasatan di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, Wan Abd. Aziz  berkata, sebelum ini, rakan sekerja suspek telah menyerahkan sebilah pisau yang dipercayai digunakan dalam pembunuhan itu di IPD Kuala Terengganu petang kelmarin.

“Lelaki itu memberitahu suspek telah menyerahkan pisau yang telah dibersihkan daripada kesan darah itu kepadanya Ahad lalu.

“Dia yang mengetahui kes pembunuhan tersebut menerusi akhbar kemudiannya menyerahkan pisau terbabit kepada polis ke­rana enggan bersubahat,” katanya.
Kosmo! Isnin lalu me­laporkan pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan, Pengkalan Kubor, Kelantan, Muhamad Shukri maut selepas ditikam sebanyak enam kali pada bahagian dada dan leher oleh bakal adik iparnya di tempat letak kereta Kompleks Darul Iman.

Suspek yang berhasrat mengahwini adik mangsa, Azlina, 27, bertindak demikian selepas berang rahsianya yang merupakan suami orang dibongkar keluarga kekasihnya itu.

Rakan Mohd. Hafiz yang memandu kereta Honda Civic bagi membantu suspek utama itu melarikan diri selepas menikam Muhamad Shukri telah diberkas di Manir Ahad lalu.

Bapanya saudaranya  yang berumur 55 tahun yang dipercayai membantu menyorokkan kereta tersebut turut ditahan tidak lama kemudian.

No comments:

Post a Comment