KUALA TERENGGANU - Skuad Piala Presiden Kelantan mempertahankan kejuaraan selepas menewaskan T-Team 2-0 pada aksi kedua final di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam tadi.
Keputusan tersebut membolehkan Kelantan merangkul piala itu buat dua tahun berturut-turut dengan agregat 3-1.
Pemain penyerang, Muhamad Raihan Mohd. Huzaizi membuka jaringan pertama Kelantan pada minit ke-40.
Dia memanfaatkan kesilapan penjaga gol T-Team, Mohd. Asyaf Azmi yang tersepak bola ke kaki pemain itu di dalam kotak penalti sebelum meledak rembatan yang menerjah jaring tuan rumah.
Tersentak dengan gok tersebut, T-Team memperkemaskan jentera serangan yang diterajui Muhamad Safawi Rasid.
Kesempatan terbaik T-Team untuk mendapat gol penyamaan diperolehi menerusi rembatan lencong Muhamad Safawi menerusi sepakan percuma ke dalam kotak penalti lawan namun gagal disudahkan rakan sepasukan, Engku Muhammad Nur Shakir Engku Yacob pada minit ke-62.
Sisa-sisa perjuangan T-Team berakhir selepas Muhammad Danial Ashraf Abdullah meledak gol kedua Kelantan menerusi serangan balas pantas pada minit ke-81.
Pada aksi final pertama di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan pada 18 Oktober lalu, kedua-dua pasukan diikat 1-1.
Tuan rumah mendahulu menerusi sepakan percuma Muhammad Danial Ashraf pada minit ke-55 sebelum T-Team menyamakan kedudukan menerusi tandukan Engku Nur Shakir pada minit ke-64. - K! ONLINE
No comments:
Post a Comment