Translate

Monday, October 24, 2016

Bulan Kesiapsiagaan dilancar

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KEMAMAN – Bulan Kesiapsiagaan Nasional dilancarkan bagi meningkatkan kesedaran awam terhadap persiapan menghadapi bencana alam terutama banjir yang diramal melanda tidak lama lagi.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, respons mangsa bencana alam di negara ini terhadap usaha-usaha yang dijalankan agensi penyelamat masih berada pada tahap sederhana.

“Jika diberi skala satu hingga 10, saya boleh beri lima. Kesedaran dalam kalangan mangsa banjir perlu ditingkatkan lagi.

“Semua agensi kerajaan terlibat (pengurusan banjir) telah bersiap sedia 100 peratus tetapi kita perlu kerjasama daripada mangsa-mangsa,” katanya selepas merasmikan Bulan Kesiapsiagaan Nasional di Kemaman Waterfront, Chukai di sini semalam.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim.

Ahmad Zahid berkata, kesiapsiagaan menghadapi bencana alam terutama pada musim banjir perlu menjadi budaya dalam kalangan rakyat negara ini.

Menurut beliau, beberapa program telah diatur sepanjang sambutan bulan berkenaan bagi meningkatkan kesedaran mangsa termasuk sentiasa memantau ramalan cuaca yang disebarkan Jabatan Meteorologi.

“Mangsa-mangsa banjir perlu sentiasa bersedia untuk berpindah sebaik menerima maklumat bagi mengurangkan risiko (kemalangan jiwa),” katanya.

Dalam perkembangan sama, Ahmad Zahid berkata, sambutan Bulan Kesiapsiagaan Nasional yang julung-julung kali diadakan itu juga bertujuan untuk mengkoordinasi agensi-agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan sukarelawan banjir di bawah Agensi Pengurusan Banjir Negara.

Beliau berkata,  pada masa ini, tumpuan akan diberikan terhadap negeri-negeri yang kerap dilanda banjir pada musim tengkujuh iaitu Terengganu, Kelantan, Pahang, Johor dan Sarawak.

No comments:

Post a Comment