Translate

Monday, October 17, 2016

Tidak sangka kekasih bertindak kejam

KUALA TERENGGANU – Kekasih kepada tukang rumah yang menikam sehingga mati bakal abang iparnya di tempat letak kereta Kompleks Seri Iman di sini semalam mendakwa suspek menunjukkan sikap bersopan-santun sepanjang perkenalan mereka selama lima tahun.

Menurut Azlina Husin, 27, dia tidak menyangka kekasihnya itu sanggup bertindak kejam dengan menikam abang keduanya, Muhamad Shukri, 34, sehingga mati.

Dia berkata, mereka berkenalan menerusi inisiatif rakan-rakannya pada tahun 2012 sebelum memutuskan untuk menjalin hubungan cinta dua tahun kemudian.
“Sebelum ini abang saya (Muhamad Shukri) memberitahu kekasih saya sebenarnya adalah suami orang tetapi saya tidak percaya.

“Justeru, saya nekad pergi ke Pejabat Agama Kuala Terengganu hari ini (semalam) untuk mengetahui perkara sebenar,” katanya ketika ditemui Kosmo! di pekarangan Rumah Mayat Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini semalam.

Azlina yang pernah bekerja di sebuah pasar raya di Kota Bharu, Kelantan berkata, sebelum meninggalkan pejabat agama Islam Terengganu itu dia memberitahu kekasihnya untuk memutuskan hubungan mereka dan suspek kemudian menerima keputusan tersebut.

Adik kelima Muhamad Shukri, Alias, 29, pula berkata, suspek yang mengaku be­kerja sebagai seorang arkitek sebelum kerjaya sebenarnya terbongkar juga pernah berjanji untuk mengahwini Azlina yang merupakan anak keenam daripada sembilan beradik dalam tempoh terdekat.

“Namun kami sekeluarga curiga selepas dia bukan sahaja meminang adik saya secara bersendirian malah telah menangguhkan majlis pertunangan mereka yang sepatutnya berlangsung pada Mac lalu dengan alasan ayah saya meninggal dunia,” katanya.

Menurut Alias, abangnya kemudian bertindak merujuk ke Pejabat Agama Islam Kuala Terengganu di sini pada bulan September lalu dan mendapati suspek telah berkahwin dengan seorang wanita dari Kampung Gemuruh, Kuala Nerus pada tahun 2010.
Sementara itu, di Tumpat, Kelantan isteri Muhamad Shukri, Noriah Lah, 34, berkata, hasrat suaminya untuk melihat zuriat sulung lahir pada bulan depan tidak kesampaian selepas suaminya yang berasal dari Jeli maut ditikam.

Noriah yang mendirikan rumah tangga dengan Allahyarham sejak empat tahun lalu berkata, anaknya dijangka lahir pada 25 November depan.

“Saya mengetahui kejadian malang itu kira-kira pukul 11.30 pagi menerusi mesej yang dihantar rakan menggunakan aplikasi WhatsApp,” katanya yang bertugas sebagai seorang jururawat ketika ditemui di Kampung Kok Keli 2, Tumpat.

Noriah berharap suspek yang membunuh suaminya segera ditangkap dan menerima hukuman setimpal di atas perbuatan tersebut.

No comments:

Post a Comment