Oleh MOHD. AZLI ADLAN dan EZZUAN AHMAD
KEMAMAN – Seorang pengawal keselamatan yang tidak pulang ke rumah selepas tamat waktu bertugas ditemui mati di dalam kereta Perodua Kancil miliknya di tapak sebuah gudang di Kawasan Perindustrian Telok Kalong dekat sini semalam.
Mangsa, Sharai Tahir, 61, dipercayai meninggal dunia akibat serangan jantung ditemui salah seorang ahli keluarganya pada pukul 7.30 pagi.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd. Said Ibrahim berkata, warga emas itu bertugas sebagai pengawal keselamatan yang menjaga dua buah jengkaut di tapak pembinaan tersebut sejak sebulan lalu.
“Pada hari kejadian, mangsa bertugas syif malam dari pukul 7.30 malam Isnin (kelmarin) hingga 7 pagi tadi (semalam).
“Namun, dia tidak pulang ke rumah di Rumah Murah Kijal dekat sini selepas tamat waktu bertugas menyebabkan ahli keluarganya mencarinya di tempat kerja,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Mohd. Said berkata, mayat mangsa ditemui di tempat duduk pemandu dengan kepalanya diletakkan di atas stereng kereta seolah-olah sedang tidur.
Namun menurut beliau, ahli keluarga mangsa bertindak menghubungi polis selepas lelaki itu didapati tidak sedarkan diri walaupun sudah berkali-kali cuba dikejutkan.
“Pemeriksaan mendapati mangsa yang lengkap berpakaian telah meninggal dunia beberapa jam sebelum ditemui,” katanya.Mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Kemaman di sini untuk dibedah siasat.
Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
No comments:
Post a Comment