Translate

Thursday, October 6, 2016

Bekas banduan dan sepupunya diberkas kerana edar dadah

HULU TERENGGANU – Seorang bekas banduan yang baru dibebaskan daripada penjara kira-kira dua bulan lalu bagaikan tidak serik apabila sekali lagi ditahan kerana terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah di Kampung Pauh, Kuala Berang di sini kelmarin.

Turut ditahan bersama suspek berusia 31 tahun dalam serbuan pada pukul 8.30 malam itu ialah sepupu lelakinya yang berumur 37 tahun.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd. Adli Mat Daud berkata, sewaktu ditahan kedua-dua suspek dipercayai sedang menunggu pelanggan untuk melakukan urus niaga dadah di belakang sebuah kedai.

“Pemeriksaan pada beg pinggang berwarna hitam milik suspek berusia 31 tahun menjumpai tujuh botol, lima plastik, 15 gelung aluminium dan dua tiub penyedut minuman yang me­ngandungi dadah jenis heroin, syabu, Erimin 5 dan pil kuda.

“Kesemua dadah terbabit dianggarkan bernilai RM17,220,” katanya di sini semalam.

Mohd. Adli berkata, siasatan awal mendapati, suspek pertama yang pernah dipenjara atas kesalahan dadah mengaku baru memperoleh bekalan bahan terlarang tersebut beberapa jam sebelum diberkas.

Menurut beliau, kedua-dua suspek yang positif dadah kini direman sehingga 9 Oktober ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 12(2) akta sama.

No comments:

Post a Comment