Translate

Saturday, November 2, 2013

Janda muda mati ditikam di dada


Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my


SERI MANJUNG – Misteri menyelubungi kes pembunuhan seorang janda anak dua apabila mayatnya ditemui dalam keadaan tertiarap dan berlumuran darah dengan satu kesan tikaman di dadanya di rumahnya di tingkat satu Apartmen Bukit Pertama, Lumut dekat sini kelmarin.
Dia dikatakan terbaring di atas lantai bilik tidurnya. Polis kemudian bertindak menahan teman lelakinya yang merupakan seorang anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang sebelum itu menghantar mayat Nariza Mustapha, 32, ke Hospital Seri Manjung (HSM) di sini pada pukul 10.30 pagi.
Anggota tentera tersebut bertugas di Pangkalan TLDM Lumut. Wanita itu pula membuka perniagaan di pasar raya Perwira Niaga Malaysia (Pernama) di dalam kem tersebut.
Difahamkan, pada malam sebelum kejadian, anggota tentera tersebut dikatakan telah tidur di rumah mangsa dan keluar pada pukul 7 pagi untuk menghantar anak lelaki mangsa berusia 11 tahun ke sekolah yang terletak di dalam kem tersebut.

Jarak antara dua tempat itu ialah kira-kira empat kilometer.

Sebaik pulang pada pukul 11 pagi, anggota TLDM berusia lingkungan 30-an itu mendakawa menemui mayat kekasihnay itu dalam keadaan tertiarap dan berlumuran darah di atas lantai bilik rumahnya sebelum bergegas membawanya ke HSM.

Bagaimanapun, Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Jaafar Baba berkata, doktor yang melakukan bedah siasat ke atas mayat mangsa telah menemui tikaman di dadanya sebelum membuat laporan polis pada pukul 11.10 pagi.

Katanya, kesan tikaman itu menimbulkan rasa curiga sebelum polis bertindak menahan anggota TLDM tesebut untuk membantu siasatan.

"Siasatan di rumah itu menemui sebilah pisau yang dipercayai digunakan dalam pembunuhan tersebut. Senjata itu telah dihantar ke makmal untuk dianalisis.

"Anggota TLDM tersebut ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Tambahnya, siasatan awal polis mendapati kejadian tersebut berlaku antara pukul 7 pagi hingga 10.30 pagi.

Menurut Jaafar, jenazah Nariza telah dituntut oleh ahli keluarganya untuk dikebumikan di Rantau Panjang, Kelantan.

Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi pegawai penyiasat, Asisten Superintendan Ahmad Hisyam di talian 019-5753207 untuk membantu siasatan.

No comments:

Post a Comment