Prestasi mengecewakan
Oleh MOHD. AZLI ADLANazli.adlan@kosmo.com.my
PENCARIAN pemain import Perak belum selesai selepas kelima-lima pemain yang hadir untuk sesi ujian malam kelmarin gagal menunjukkan kualiti yang diharapkan.
Aksi sulung Adama Kone dari Ivory Coast, Martin Kafando (Burkina Faso), Faroqu Salama (Ghana), Dinh Hoangmax (Vietnam) dan Prince Eboaywu Etuwe (Nigeria) agak hambar, sekali gus gagal memikat panel penilaian Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) yang diketuai ketua jurulatih, Abu Bakar Fadzim.
"Selain Kafando dan Eboaywu Etuwe yang nampak sedikit berkualiti sebagai pemain pertahanan, yang lain masih gagal menunjukkan kelebihan masing-masing.
"Misalnya, kalau ikut profil dan video persembahan semasa mewakili kelab Myanmar, Yangon FC, kita agak kagum dengan kemampuan Kone sebagai pemain penyerang. Namun malam ini (kelmarin) dia tenggelam," kata Abu Bakar ketika ditemui selepas perlawanan ujian antara Perak dengan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) di Stadium Perak di Ipoh malam kelmarin.
Dalam perlawanan yang berakhir dengan seri tanpa jaringan itu, Kone yang berbadan agak gempal gagal menunjukkan kemampuannya malah dilihat 'malas bergerak' dan hanya mengharapkan umpanan daripada rakan sepasukan.
Malah pemain yang pernah menjaringkan 13 gol daripada 22 penampilan dengan Yangon FC itu telah banyak melepaskan peluang selain kelibatnya yang mudah disekat benteng pertahanan PBAPP.
Sehubungan itu, Abu Bakar yang gusar dengan perkembangan berkenaan berhasrat memanggil beberapa pemain penyerang import yang lain untuk diuji.
Menurut beliau, selain posisi pertahanan tengah, skuad Perak sedang mencari seorang pemain import ampuh untuk mengetuai barisan serangan.
"Saya akan panggil beberapa pemain penyerang (import) lain untuk diuji bagi mencari yang betul-betul berkualiti.
"Apa pun kita akan memberi satu peluang lagi kepada lima pemain import ini untuk membuktikan kemampuan mereka pada perlawanan ujian berikutnya iaitu menentang Pulau Pinang di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang pada lusa (hari ini)," katanya.
Skuad Seladang sedang mencari dua lagi pemain antarabangsa untuk mengisi kouta pemain import selepas satu slot hampir pasti menjadi milik kapten skuad Bawah 23 Myanmar, Kyaw Zayar Win.
No comments:
Post a Comment