Translate

Thursday, October 31, 2013

Hasrat ibu jumpa Khairul tercapai

GOPENG - Hasrat seorang ibu untuk bertemu dengan anaknya yang meringkuk di penjara Taiwan selepas menjadi mangsa keldai dadah sejak tujuh tahun lalu akhirnya tercapai baru-baru ini.
Pertemuan mengharukan Halijah Abdul Rashid, 55, dengan anak keduanya, Khairul Azuan Abu Hasan, 33, yang kini menjalani hukuman penjara seumur hidup di Pusat Tahanan Taoyuan, Taiwan itu tercapai atas inisiatif Pusat Khidmat dan Aduan MCA Gopeng.
"Saya berada di Taiwan selama enam hari pada 21 Oktober hingga 26 Oktober lalu dengan ditemani tiga pemimpin MCA Gopeng.
"Tanpa bantuan mereka, tak mungkin hajat saya untuk melepaskan rindu terhadap anak tercapai kerana saya bukannya orang senang, malah tidak fasih berbahasa Inggeris mahupun Mandarin," katanya pada sidang akhbar yang turut dihadiri Ketua MCA Bahagian Gopeng, Albert Chang Chun Cheun di Pusat Khidmat dan Aduan MCA Gopeng di sini semalam.

Turut hadir tiga pemimpin MCA yang telah menemani Halijah sepanjang di Taiwan iaitu Setiausaha Kerja MCA Gopeng, Lee Thim Foo, Pengerusi Biro Khidmat dan Aduan MCA Gopeng, Low Leong Sin dan Ketua Pemuda MCA Gopeng, Leow Yen Ling.

Mengimbas kembali pertemuan tersebut, Halijah yang merupakan seorang pekerja am memberitahu pengurusan Pusat Tahanan Taoyuan membenarkan dia bertemu dengan Khairul Azuan sebanyak tiga kali.

Katanya, dia dan anaknya dibenarkan berjumpa secara bersemuka di dalam sebuah bilik khas selama sejam pada pertemuan pertama pada 23 Oktober lalu.

Dalam dua pertemuan selanjutkan iaitu pada 24 Oktober dan 25 Oktober, mereka berbual di sebalik tirai cermin menerusi telefon selama setengah jam bagi setiap sesi.

“Saya sebak dan terharu dapat memeluk Khairul Azuan buat pertama kali sejak dia mula ditahan kira-kira tujuh tahun lalu.

“Syukur saya dapat lihat banyak perubahan positif. Selain fizikalnya semakin berisi, dia juga sudah mahir bertutur dan menulis dalam bahasa Cina dan Inggeris,” katanya.

Halijah lega dapat membawa hidangan rendang tok dan foto terbaharu dua anak Khairul Azuan berusia 13 tahun dan 10 tahun yang merupakan dua permintaan anak kedua dari empat beradik itu.

Tambahnya, pada pertemuan tersebut, Khairul Azuan menyatakan kekesalannya mengikut kata hati hingga terjebak oleh sindiket dadah antarabangsa sedangkan cuma dijanjikan upah RM3,000 hingga RM4,000 bagi tugas membawa dadah jenis heroin tersebut.

Dia ditahan pihak penguasa di Lapangan Terbang Antarabangsa Chiang Kai Shek, Taiwan pada 14 Jun 2006.

Khairul Azuan ditahan di Pusat Tahanan Taoyuan, Taiwan setelah didapati bersalah memiliki 1.536 kilogram dadah jenis heroin pada 2008 dan dijangka dibebaskan pada 2036.

No comments:

Post a Comment