Mansuhkan fi, caj keluar permit
Oleh MOHD. AZLI ADLANazli.adlan@kosmo.com.my
IPOH - Pengusaha sayur dan bunga di Cameron Highlands, Pahang merayu kerajaan agar memansuhkan pelaksanaan pengenalan fi dan caj tambahan terhadap pengeluaran permit eksport produk pertanian yang mula dikuatkuasakan pada 28 Oktober lalu.
Setiausaha Eksekutif Pertubuhan Pengusaha Bunga Cameron Highlands, Yong Leong Meng mendakwa, pengenalan fi dan caj baharu yang dipungut oleh Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) itu telah menyebabkan kos mendapatkan permit eksport meningkat sehingga lebih 500 peratus.
"Kami sangat terbeban kerana bagi mendapatkan permit eksport produk sayur dan bunga, caj RM71.74 bagi setiap konsainan (kiriman) dikenakan berbanding hanya RM18.24 sebelum ini.
"Justeru, saya mewakili lima persatuan pekebun sayur dan bunga di Cameron Highlands merayu kerajaan agar menimbang semula pelaksanaan fi dan caj tambahan ini," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Selain Pertubuhan Pengusaha Bunga Cameron Highlands, persatuan-persatuan lain ialah Persatuan Pekebun Sayur Cameron Highlands, Persatuan Pekebun India Cameron Highlands, Persatuan Penanam Sayur Melayu Cameron Highlands dan Persatuan Tuan Empunya Kenderaan Sayur-Sayuran Cameron Highlands.
Turut hadir Setiausaha Agung Persekutuan Persatuan-Persatuan Pekebun Sayur Malaysia, Chay Eee Mong; Naib Presiden Pertubuhan Pengusaha Bunga Cameron Highlands, Wong Seng Yee dan Pengerusi Persatuan Tuan Empunya Kenderaan Sayur-Sayuran Cameron Highlands, Lau Sai Hoong.
Leong Meng mendakwa, antara caj dan fi tambahan yang diperkenalkan ialah fi Dagang Net, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), permit 3P (Pembungkusan, Pelabelan dan Penggredan) serta permit eksport dan kastam yang berjumlah RM35.30.
Sebagai perbandingan, katanya, sebelum ini mereka hanya dikenakan caj Pertukaran Data Elektronik dan borang kastam bagi mengeksport produk pertanian.
"Kami sudah menghantar memorandum merayu pelaksanaan caj baharu ini kepada FAMA, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Maqis dan Jabatan Perbendaharaan tetapi tiada respons positif diterima," katanya.
Sementara itu, Eee Mong mendakwa, kenaikan fi dan caj terhadap permit eksport produk pertanian tersebut sedikit sebanyak menggugat eksport produk sayur dan bunga tempatan.
Menurutnya, kenaikan itu menyebabkan produk pertanian negara kurang kompetitif, sekali gus sukar bersaing dengan produk dari China dan Vietnam di peringkat antara- bangsa.
"Sebanyak 25 peratus daripada pengelua- ran sayur Cameron Highlands dieksport ke luar negara melalui Singapura manakala kawasan tanah tinggi ini juga merupakan pengeksport ketujuh terbesar dunia bagi produk bunga-bungaan," jelasnya.
No comments:
Post a Comment