Translate

Sunday, October 2, 2022

Salah faham punca kemalangan motosikal bomba, kenderaan diiringi polis

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Kemalangan melibatkan sebuah motosikal milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dengan kenderaan pelbagai guna, Toyota Alphard diiringi anggota polis trafik di Jalan Tengku Mizan di sini semalam disebabkan salah faham.

Dalam kemalangan pada pukul 2.30 petang itu, anggota bomba terbabit hanya mengalami kecederaan ringan.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md. Din berkata, sebelum kejadian, anggota polis trafik terlibat telah ditugaskan untuk mengiringi kenderaan Toyota Alphard berkenaan dari arah Bukit Besar di sini.

Beliau berkata, anggota polis trafik pengiring terlibat tiba terlebih dahulu di lokasi kejadian iaitu persimpangan lampu isyarat berhampiran Perpustakaan Awam Terengganu di sini.

“Mereka mengawal aliran trafik bagi memberi laluan kenderaan yang diiring (Toyota Alphard) meneruskan perjalanan ke Jalan Tengku Mizan di sini.

“Pada masa sama, dua buah motosikal JBPM tiba dari arah Jalan Kemajuan telah meneruskan perjalanan kerana menyangkakan kawalan trafik di persimpangan lampu isyarat itu bertujuan memberi laluan kepada mereka,” katanya di sini hari ini.

Abdul Rahim berkata, ia telah mencetuskan perlanggaran melibatkan salah satu motosikal JBPM dengan kenderaan Toyota Alphard yang diiring terbabit.

Terdahulu tular klip video berdurasi 28 saat berhubung kemalangan tersebut di media sosial. – KOSMO! ONLINE

No comments:

Post a Comment