Translate

Wednesday, October 19, 2022

Jangan terpengaruh tawaran kerja lumayan sindiket penipuan

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Golongan muda dinasihatkan berhati-hati agar tidak terperdaya dengan sindiket penipuan dalam talian yang kononnya menawarkan peluang pekerjaan lumayan di luar negara.

Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Datuk Seri Ayub Yaakob berkata, taktik terbaharu itu menyebabkan semakin ramai golongan muda menjadi mangsa keldai akaun apabila akaun bank mereka dimanipulasi bagi kegiatan penipuan.

Beliau berkata, tambah menakutkan, segelintir mangsa yang terperdaya mengikut ke luar negara sebelum dikurung dan dipaksa menjadi anggota sindiket berkenaan.

“Mereka dipaksa untuk menghubungi orang ramai untuk melakukan aktiviti penipuan dalam talian.

“KPI (Indeks Petunjuk Prestasi Utama) berkaitan jumlah mangsa yang perlu dihubungi dan ditipu diberikan. Mereka akan diancam jika gagal mencapainya” katanya selepas menghadiri program Bicara ‘Scammer Semakin Bijak’ di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di sini hari ini.

Ayub berkata, sekiranya terjebak, jalan keluar amat sukar kerana mereka akan menjadi sama ada mangsa pemerdagangan manusia atau terlibat dalam aktiviti penggubahan wang haram.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai termasuk golongan muda agar berhati-hati dengan taktik penipuan sindiket dalam talian yang sentiasa berubah-ubah mengikut trend semasa.

“Senang kata, jangan layan langsung panggilan atau mesej meragukan terutama daripada pihak tidak dikenali.

“Sindiket penipuan dalam talian biasanya memiliki profil peribadi sasaran yang akan digunakan untuk mengelirukan mangsa sekiranya terus dilayan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

No comments:

Post a Comment