Oleh MOHD. AZLI ADLAN
HULU TERENGGANU – Sewaktu rakan seusianya memburu cita-cita dan membina kerjaya, seorang pemuda terpaksa mengorbankan masa mudanya untuk menjaga ibu, bapa dan kakak yang terlantar sakit.
Syed Muhammad Husaini Tuan Ahmad Amarullah, 26, berkata, dia nekad berhenti kerja sebagai juruteknik di sebuah syarikat telekomunikasi di Kuala Lumpur untuk pulang ke kampung sejak tahun lalu.
Dia yang masih bujang berkata, semuanya bermula selepas kakak sulungnya, Sharifah Norhidayah, 39, yang sebelum ini bertanggungjawab menjaga ibu bapa tiba-tiba diserang strok.
“Serangan strok mengejut itu menyebabkan kakak terlantar dan sukar menguruskan diri.
“Ayah yang berusia 70 tahun menghidap ketumbuhan di dalam kepala, manakala ibu yang berumur 61 tahun pula menghadapi masalah usus dan saraf,” katanya ketika ditemui di Kampung Paya Dadeh, Kuala Berang di sini baru-baru ini.
Syed Muhammad Husaini berkata, masalah kesihatan yang dihadapi kedua-dua orang tuanya sejak lebih 10 tahun lalu menyebabkan mereka juga perlu dibantu untuk menguruskan diri.
“Kami sekeluarga kini tergantung kepada pencen ayah sebagai pesara kerajaan sebanyak RM800 sebulan,” katanya.
Tambahnya, mereka turut menerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berjumlah RM900 selain kiriman wang kakak dan abangnya yang menetap di Kuala Lumpur dan Kemaman.
“Ini ujian kami sekeluarga. Saya janji akan menjaga ibu, ayah dan kakak sebaiknya,” katanya.
Orang ramai yang bersimpati boleh menghulurkan sumbangan menerusi akaun bank Syed Muhammad Husaini bernombor 163037270681 (Maybank) atau menghubunginya di talian 0139347496.
No comments:
Post a Comment