Translate

Thursday, October 6, 2022

Kemaman, Hulu Terengganu dijangka banjir November ini

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

BANJIR luar biasa yang melanda daerah Hulu Terengganu akhir Februari lalu telah memberi pe­ngajaran besar terhadap pengurusan bah di Terengganu.

Walaupun negeri Pantai Timur itu sudah biasa berhadapan de­ngan musibah banjir saban tahun, bencana yang berlaku di hujung Monsun Timur Laut itu benar-benar di luar dugaan.

Banjir lumpur dan kejadian ­aliran puing berkenaan telah menjejaskan sebahagian kawasan yang puluhan tahun tidak pernah terjejas dengan bencana termasuk berhampiran Stesen Janaelektrik Sultan Mahmud atau lebih dikenali sebagai Empangan Kenyir.

Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Tengku Datuk Farok Hussin Tengku Abdul Jalil berkata, musibah luar jangka terburuk dalam tempoh lapan tahun tersebut benar-benar menjadi iktibar buat Sekretariat Pengurusan Banjir negeri.

Menurutnya, persiapan menghadapi musim tengkujuh tahun ini jauh lebih rapi ­termasuk gerak kerja apabila berhadapan kemungkinan musibah luar jangka.

“Pelan pengurusan banjir ­negeri telah ditambah baik bagi melancarkan lagi operasi banjir terutama melibatkan pemindahan penduduk terjejas pada kali ini,” katanya baru-baru ini.

Tengku Farok Hussin berkata, seramai 16,239 petugas terma­suk 2,779 kakitangan agensi ­keselamatan di Terengganu telah selesai menjalani latihan kemahiran dan simulasi bagi melicinkan operasi musim banjir kelak.

Tambah Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri tersebut, aset-aset yang akan digunakan dalam misi banjir seperti lori, ambulans dan bot laju juga telah diselenggara.

“Sebanyak 580 pusat pemindahan sementara (PPS) yang mampu menampung sehingga 147,600 mangsa banjir telah dikenal pasti di seluruh Terengganu.

“Kita juga telah menerima peruntukan RM2.5 juta bagi menyediakan barangan keperluan dan makanan kepada penduduk terjejas,” katanya.

Bagaimanapun, Tengku Farok Hussin menegaskan, operasi banjir amat memerlukan kerjasama daripada rakyat di lapangan.

Jelas beliau, sikap segelintir mangsa banjir yang masih kurang peka dan enggan mengikut arahan pihak berkuasa perlu dikikis.

“Penduduk yang terjejas perlu peka dengan semua informasi. Jangan tunggu saat-saat akhir sehingga paras banjir semakin tinggi atau pada awal pagi yang menyukarkan misi penyelamat,” jelasnya.

Dalam pada itu, Timbalan Pe­ngarah Operasi Angkatan Pertahanan Awam (APM) Terengganu, Mohd. Hafiz Asikin berkata, empat daerah di negeri ini berisiko tinggi untuk dilanda banjir pada Monsun Timur Laut kali ini iaitu Kemaman, Dungun, Hulu Terengganu dan Besut.

Tambah beliau, sebanyak 30 lokasi paling berisiko juga te­lah dikenal pasti antaranya, Air Puteh, Seberang Tayor dan Bukit Mentok (Kemaman), Pasir Raja dan Kuala Jengal (Dungun) serta Kampung Lubok Periuk (Hulu Terengganu).

“Semua lokasi itu terletak di kawasan rendah di pinggir su­ngai atau laut yang tidak berupaya menampung kapasiti hujan lebat dan aliran sungai pada musim tengkujuh.

“Bagi membantu penduduk, kita telah menempatkan 187 stesen pemantauan banjir, tujuh kamera dan 21 siren yang akan memberi amaran apabila air su­ngai mencecah paras bahaya,” katanya.

Mohd. Hafiz berkata, selain kapasiti hujan terlalu hebat, feno­mena air pasang besar, ombak tinggi dan tempias ribut dan taufan di Laut China Selatan juga punca banjir di Terengganu sepanjang monsun Timur Laut.

No comments:

Post a Comment