Translate

Wednesday, March 9, 2016

Mahkamah tetapkan perbicaraan pengikut ajaran Milah Abraham 30 Mei depan

KUALA LUMPUR – Seba­nyak 58 individu me­ngaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Syariah di sini terhadap pertuduhan cuba menjelaskan kepercayaan agama yang berlawanan dengan hukum syarak iaitu ajaran Millah Ibrahim @ Abraham dan mengajar ajaran itu tanpa tauliah.

 Mereka terdiri daripada 12 wanita dan 46 lelaki termasuk pelajar dan penganggur membuat pengakuan itu selepas pertuduhan di bacakan di hadapan Hakim Syarie Abdul Karim Wahab.

 Mahkamah membenarkan ke­semua tertuduh, masing-masing diikat jamin antara RM4,000 dengan seorang penjamin dan RM5,000 dengan dua penjamin selain perlu melapor diri di Jabatan Agama Wilayah Persekutuan dua minggu sekali serta perlu mendapat kebenaran sekiranya mahu ke luar negara.

 Mahkamah menetapkan perbicaraan lima hari bermula pada 30 Mei ini terhadap kesemua tertuduh yang berusia di antara 19 hingga 59 tahun.

 Pada 2 Februari lalu, kesemua tertuduh didakwa di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rendah tetapi tiada pengakuan direkodkan daripada mereka yang diwa­kili peguam Zaini Zainol.

 Mengikut pertuduhan, tiga tertuduh iaitu Farzlie Rahmat, 40, Hamatun Mezi Wahab, 49, dan Sehadle Sa’aamah, 35, didakwa cuba menjelaskan doktrin atau kepercayaan agama selain agama Islam, yang berlawanan dengan hukum syarak dengan mencampuradukkan kefahaman kandu­ngan ayat Al-Quran dengan kitab Bible yang didapati antara ciri-ciri di dalam ajaran Millah Ibrahim @ Abraham.

 Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di dalam bilik Sakura International Youth Centre di No. 1, Jalan Yaacob Latif, Bandar Tun Razak, Cheras di sini pada 8.32 malam, 1 Februari lepas.

 Mereka didakwa mengikut Seksyen 4 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 dan boleh didenda RM5,000 atau dipenjara sehingga 18 bulan atau disebat sehingga enam sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut, jika sabit kesalahan.

 Bagi pertuduhan kedua, ketiga-tiga mereka didakwa cuba mengajar agama Islam tanpa tauliah pada masa, tarikh dan tempat sama mengikut Seksyen 11, akta sama dan boleh didenda RM5,000 atau dipenjara sehingga 18 bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

 Sembilan lagi tertuduh ialah Zaitullailati Taslim, 31; Adly Azman, 24; Aszrul Nizam Zainal Badol Nizam, 22; Mohd Nazari Buang, 39; Mohd Saad Ghazali, 35; Muhamad Arif Afrison, 24; Muhammad Hasif Che Kemarudin, 27; Muhammad Razeeq Iskandar Ruslanno, 20, dan Muhammad Shawaluddin Shafar, 27.

 Mereka didakwa bersubahat mengambil bahagian bersama-sama dalam satu majlis yang dikendalikan Farzlie, Hamatun Mezi dan Sehadle untuk me­lakukan kesalahan sama iaitu cuba menjelaskan ajaran itu di tempat, masa dan tarikh sama yang membawa hukuman denda dan penjara yang sama.

 Sementara itu, 43 lagi tertuduh didakwa terhadap pertuduhan sama iaitu bersubahat mengambil bahagian bersama-sama dalam satu majlis yang dikendalikan Farzlie, Hamatun Mezi dan Sehadle.

 Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Syarie Zainor Rashid Hassin.

No comments:

Post a Comment