Translate

Wednesday, March 9, 2016

Ibu campak bayi dari flat didakwa

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA LUMPUR – Seorang ejen hartanah berdepan hukuman mati selepas didakwa di Mahkamah Majistret di sini semalam di atas pertuduhan membaling bayi perempuan yang baru dilahirkannya dari tingkat 18 sebuah pangsapuri.

Norazwani Mohd. Noh, 39, yang kelihatan tenang di dalam mahkamah sekadar menganggukkan kepala tanda faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Siti Radziah Kamarudin.
Namun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang tidak diwakili peguam.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nor Diana Nor Azwa.

Berdasarkan pertuduhan, Norazwani didakwa membunuh seorang bayi perempuan yang baru lahir dengan memba­lingnya dari tingkat 18, Flat Danau Kota, Setapak di sini pada pukul 8.11 pagi 29 Februari lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Norazwani yang berpa­kaian baju T berlengan panjang berwarna merah dibawa ke mahkamah dengan kawalan ketat anggota polis dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini.

Difahamkan dia yang me­nerima rawatan di HKL sejak ditahan seminggu lalu akan terus direman di hospital tersebut sehingga disahkan pulih oleh pegawai perubatan.

Tiada ahli keluarga tertuduh kelihatan hadir di galeri mahkamah sewaktu prosiding dijalankan.
Siti Radziah menetapkan sebutan semula kes pada 9 Mei 2015 bagi menunggu laporan kimia dan keputusan bedah siasat.

Kosmo! pada 1 Mac lalu me­laporkan penduduk Flat Danau Kota gempar selepas menemui mayat bayi perempuan dalam keadaan berlumuran darah dengan kecederaan parah pada kepala di kawasan lapang flat tersebut pada pukul 8.30 pagi.

Hasil pemeriksaan polis dari rumah ke rumah telah mengesan tertuduh yang menyewa salah sebuah bilik di sebuah rumah di tingkat 18 flat ber­kenaan selain menjumpai kesan darah dari bahagian tandas hingga balkoni di premis terbabit yang dipercayai tempat bayi malang itu dicampakkan.

Norazwani yang berasal dari Taman Senawang Jaya, Seremban, Negeri Sembilan dikatakan dalam proses perceraian dengan suaminya serta dipe rcayai mengalami masalah kemurungan.

Dia turut mempunyai seorang anak berusia lima tahun hasil perkahwinan dengan suaminya yang difahamkan berlangsung di negara jiran tetapi mereka tidak pernah mendaf­tarkan perkahwinan tersebut di negara ini.

No comments:

Post a Comment