Translate

Monday, March 28, 2016

Juru X-ray miliki penerbitan berkaitan IS dijel 12 bulan

KUALA LUMPUR – Seorang bekas juru - X-ray di sebuah hospital di Perlis dijatuhi hukuman penjara 12 bulan oleh Mahkamah Tinggi di sini semalam atas kesalahan memiliki majalah berkaitan dengan kumpulan pengganas Islamic State (IS) pada tujuh bulan lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Ab. Karim Ab. Rahman memutuskan demikian selepas Ahmad Kamil Ghazali, 25, menukar pengakuan kepada bersalah selepas pertuduhan dibacakan.

“Biarpun penglibatan kamu bukan secara langsung dengan IS, namun memiliki bahan berkaitan keganasan juga merupakan satu kesalahan di negara ini. Keganasan yang berlaku boleh memberi kesan kepada ketenteraman awam kerana masyarakat akan hidup dalam ketakutan dan kekacauan,” katanya ketika membacakan penghakimannya di sini semalam.

Sewaktu pertama kali dihadapkan ke mahkamah untuk pertuduhan itu di Mahkamah Majistret Kangar pada 15 September 2015, Ahmad Kamil membuat pengakuan tidak bersalah.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Aisyah Ahmad manakala tertuduh diwakili peguam bela, Pyara Singh.

Berdasarkan pertuduhan, Ahmad Kamil didakwa memiliki 10 bahan penerbitan berkaitan kumpulan pengganas IS di hadapan Kompleks Pentabdiran Taman Kechor, Taman Kechor Indah Fasa II, Jalan Abi Tok Hashim, Kangar, Perlis pada pukul 7.50 pagi, 19 Ogos 2015.

Dia didakwa mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda dan boleh dilucutkan hak terhadap mana-mana barangan tersebut jika sabit kesalahan.

No comments:

Post a Comment