Translate

Saturday, March 19, 2016

BritishIndia kalah kes saman

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di sini semalam menolak tuntutan ganti rugi yang telah difailkan BTC Clothier selaku pemilik jenama BritishIndia terhadap Suria KLCC berhubung penamatan sewaan butik pakaian jenama berkenaan di pusat beli-belah terkemuka itu dua tahun lalu.

Hakim Datuk Nor Bee Ariffin memerintahkan BTC Clothier selaku plaintif agar membayar RM100,000 sebagai kos kepada Suria KLCC yang merupakan defendan kes tersebut.

Beliau turut membenarkan tuntutan balas defen­dan dengan memerintahkan BTC Clothier agar membayar sewa bulanan berjumlah RM336,614 bermula dari Julai 2014 sehingga premis terbabit dikosongkan dan diserahkan semula kepada pengurusan pusat beli-belah berkenaan.

Ini bermakna, setakat bulan ini, BTC Clothier perlu membayar lebih RM7 juta kepada Suria KLCC sebagai sewa bulanan premis perniagaan yang masih beroperasi sehingga kini di tingkat satu pusat beli-belah ber­kenaan.

Nor Bee dalam penghakimannya berkata, beliau mendapati tidak berlaku penamatan salah dalam perjanjian dalam kontrak penyewaan premis antara Suria KLCC dan British­India kerana ia tidak pernah diperbaharui selepas tamat tempoh.

“BTC Clothier gagal membuktikan Suria KLCC selaku defendan berhasrat untuk mengekalkannya sebagai penyewa selain tidak dapat menunjukkan wujudnya hubungan secara kontrak antara kedua-dua pihak melalui tingkah laku defendan.

“Berhubung penerimaan bayaran sewa untuk bulan Julai 2014 selepas tamat tempoh perjanjian pada 30 Jun tahun sama, defendan telah memberikan hujahan berasas iaitu dengan harapan plaintif berpindah ke tingkat dua (pusat beli-belah berkenaan) seperti yang pernah dibincangkan sebelum itu,” kata beliau di sini semalam.

Oleh itu menurut Nor Bee, hujah pihak plaintif bahawa wujudnya kontrak penyewaan baharu berikutan penerimaan bayaran sewa pada bulan terbabit adalah tidak berbangkit sama sekali.

Pada 7 Julai 2014, BTC Clothier telah memfailkan saman terhadap Suria KLCC dengan mendakwa, defendan telah secara salah menamatkan perjanjian sewaan menerusi surat bertarikh 4 Julai 2014.
BritishIndia merupakan jenama tempatan yang mempunyai lebih 40 cawa­ngan di Malaysia, Singapura, Thailand dan Filipina dan merupakan antara penyewa awal sejak Suria KLCC dibuka pada tahun 1998.

Jenama itu diasaskan oleh usahawan wanita Malaysia, Pat Liew yang memiliki 35 tahun pengalaman dalam industri jualan.

BTC Clothier diwakili oleh peguam Khong Jo Ee manakala peguam Tan Sri Cecil Abraham mewakili Suria KLCC.

No comments:

Post a Comment