Adenan, 38, yang merupakan ahli perniagaan memberitahu mahkamah, dia telah menikahi Adira di pejabat Majlis Agama Islam Songkhla, Thailand pada 3 Disember tahun lalu.
“Akad nikah dilafazkan sekali dengan mas kahwin RM1,000. Pernikahan dilaksanakan secara wali hakim,” katanya ketika memberi keterangan permohonan pendaftaran pernikahan poligaminya dengan Adira di hadapan Hakim Syarie Muhammad Abdul Karim Wahab di sini semalam.
Adenan memberitahu, jurunikah dan dua saksi dalam pernikahan tersebut merupakan individu warga negara Thailand.
Sementara itu, Adira atau nama sebenarnya, Siti Adira Suhaimi, 25, berkata, sewaktu pernikahan dilangsungkan, bapa kandungnya, Suhaimi Rajiman berada di Johor Bahru, Johor.
Muhammad Abdul Karim kemudiannya memerintahkan pasangan suami isteri itu mengemukakan hujahan bertulis dalam tempoh dua minggu sebelum memberitahu keputusan terhadap permohonan pernikahan secara poligami yang dikemukakan itu pada 28 Mac depan.
Kosmo! 29 Januari lalu melaporkan Adira yang juga bintang AF7 memulakan proses untuk mendaftarkan pernikahan poligami dengan Adenan selepas berkahwin dengan ahli perniagaan itu sebagai isteri kedua di Songkhla.
Adira pada 22 Disember 2015 mengaku menjadi isteri kedua kepada Adenan selepas bernikah di negara jiran.
No comments:
Post a Comment